Ghairah swafoto selepas terima dos vaksin

- Advertisement -

KOTA BHARU: Setiap hari seorang petugas media asyik membelek aplikasi MySejahtera untuk memastikan tarikh suntikan vaksin dos pertama.

Biarpun mendaftar sejak awal lagi program vaksinasi dilaksanakan, belum nampak ada tanda-tanda tarikh temujanji suntikan vaksin Covid-19 dipaparkan di MySejahtera miliknya.

Namun wartawan veteran terbabit tetap tidak berputus asa. Bagaimanapun tiba-tiba peluang muncul apabila Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan mengumumkan kerajaan turut memberi keutamaan kepada petugas media.

- Advertisement -

Khairy Jamaluddin memberitahu petugas media yang berdaftar Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan akan mula menerima suntikan dos pertama vaksin Rabu (semalam).

Malah sebelum ini Kelab Media Kelantan Darul Naim (Kemudi) menghantar senarai nama ahli kepada anggota Exco kerajaan negeri Dr Izani Husin bagi mempertimbang suntikan lebih awal kepada petugas media.

Keutamaan diberi kepada petugas media memandangkan mereka juga petugas barisan hadapan yang berada dalam masyarakat bagi mendapat maklumat perkembangan semasa.

Pejabat Exco memberitahu senarai nama yang dihantar Kemudi diserah kepada Jebatan Kesihatan Negeri untuk dipertimbang mendapatkan tarikh suntikan.

Hari ini ramai petugas media termasuk daripada akhbar berbahasa Cina hadir bagi menerima suntikan vaksin Covid-19 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Dewan Jamuan Utama Kota Darulnaim.

Selain itu terdapat juga kakitangan kerajaan termasuk pensyarah Institut Pendidikan Perguruan Pengkalan Chepa juga hadir mendapatkan suntikan.

Proses pertama bermula dengan mengisi borang untuk menerima vaksin dan perlu ditandatangani setiap penerima vaksin.

Selain itu penerima vaksin juga perlu menyatakan tahap kesihatan mereka dan tidak menjadi kontak rapat dengan pesakit Covid-19.

Penerima vaksin juga perlu menjalani pemeriksaan tekanan darah (BP) bagi menentukan tahap tekanan darah dan deyutan jantung.

Bagi bakal penerima vaksin yang didapati bacaan BP tinggi diminta berehat kira-kira 10 minit bagi membolehkan BP turun sebelum suntikan dibuat.

Setelah bacaan BP agak normal barulah bakal penerima vaksin Covid-19 disuntikan vaksin di ruang khas, kemudian selepas itu diminta rehat bagi pengawasan selama 30 minit.

Bagaimanapun selepas tiada sebarang simpton termasuk kesukaran bernafas atau alahan lain, penerima vaksin Covid-19 dibenarkan pulang.

Malah ramai yang sudah divaksinkan mengambil peluang bergambar berlatarbelakang poster vaksinasi bagi menggambarkan mereka sudah menerima dos vaksin Covid-19.

Petugas PPV terbabit dikendalikan pegawai dan kakitangan perubatan dari pelbagai klinik dan pusat rawatan yang terdapat di sekitar Kota Bharu.

Antaranya Jabatan Kesihatan Negeri, Klinik Pergigian, Pusat Kesihatan Pengkalan Chepa dan pelatih dari hospital pakar.

Difahamkan seramai 31 petugas media yang berdaftar Kemudi menerima suntikan vaksin hari ini. Malah ada juga petugas media menerima suntikan vaksin semalam. – HARAKAHDAILY 10/6/2021

- Advertisement -