Derma rakyat Kelantan sedia keperluan asas di Gaza

- Advertisement -

Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL

KOTA BHARU:
Tabung Kemanusiaan Palestin Kelantan menghantar kira-kira RM500,000 derma yang dikumpul baru-baru ini bagi menyediakan keperluan asas penduduk di Gaza.

Manakala sebanyak RM250,000 bagi membeli ambulans yang disalur melalui wakil di Palestin.

Pengerusi Tabung Kemanusiaan Palestin, Ustaz Wan Roslan Wan Hamat berkata, bagi fasa kedua bantuan lebih tertumpu bagi memenuhi keperluan serta kemudahan awam bagi penduduk terjejas dengan serangan 11 hari rejim zionis.

- Advertisement -

“Bantuan itu untuk membina bangunan dan kediaman milik penduduk yang ranap akibat serangan tentera zionis Yahudi,” katanya pada majlis penyerahan Tabung Kemanusiaan NGO Kelantan yang diadakan secara atas talian hari ini.

Program itu dianjur Urusetia Belia dan Sukan Negeri Kelantan (U-Bes). Ia turut disertai Pengarah U-Bes Ustaz Nasruddin Mahmud Muhaidin dan Pengerusi Konfederasi NGO Kelantan, Dr Nazmi Ghazali Azmi.

Pada program itu sebanyak RM65,170 dikumpul oleh 20 NGO bagi mengisi Tabung Kemanusiaan Palestin bagi fasa kedua yang bermula pada 22 Mei lalu dan berakhir 11 Jun.

Wan Roslan yang juga anggota Exco kerajaan negeri berkata, dalam suasana negara sedang bergelut dengan penularan wabak Covid-19, namun rakyat tetap menderma walaupun pergerakan terhad.

Menurutnya sumbangan tersebut mampu memberi sinar kepada perjuangan tanpa noktah rakyat Palestin bagi membebas tanah air mereka daripada cengkaman zionis Israel.

Katanya, kerajaan negeri mengucap terima kasih dan tahniah kepada NGO yang merupakan golongan ketiga dalam mengerakkan kempen untuk mengumpul dana tabung tersebut.

“Kita hanya mampu memberi sumbangan material dan doa yang terbaik kepada perjuangan rakyat Palestin, kerana pejuangan ini tidak akan berakhir sehingga berlakunya hari kiamat.

“Kita bersyukur kerana dalam suasana kita sedang berhadapan dengan penularan wabak Covid-19 semakin ganas dan PKP, rakyat Kelantan masih mampu memberi sumbangan sekadar kemampuan masing-masing,” katanya.

Lebih RM3.6 juta berjaya dikutip sebelum ini hasil sumbangan pelbagai pihak untuk Tabung Kemanusiaan Palestin sejak 13 Mei lalu bagi fasa pertama yang disalurkan melalui Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah. – HARAKAHDAILY 10/6/2021

- Advertisement -