Dakwaan ceroboh hutan Kuala Bagan Tiang ditangani

- Advertisement -

KERAJAAN Negeri memandang serius aduan dan kebimbangan penduduk sekitar Kuala Bagan Tiang dalam Parlimen Parit Buntar, Daerah Kerian berkaitan kelulusan tanah oleh Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP) masing-masing seluas 47 ekar dan 200 ekar untuk tujuan dimajukan.

Untuk makluman, kelulusan milikan tanah kepada PPPNP di wilayah Sungai Betul mukim Bagan Tiang daerah Kerian dengan keluasan 200 ekar telah diluluskan oleh Kerajaan Negeri pada tahun 2015 bagi tujuan pertanian (penternakan air-udang). Mesyuarat Jawatankuasa Tanah PPPNP dan mesyuarat Lembaga Pengarah PPPNP pula telah meluluskan pajakan tanah kepada pihak pengusaha bagi menyumbang kepada perkembangan industri makanan.

- Advertisement -

Bagi kelulusan tanah di wilayah Sungai Megat Aris mukim Bagan Tiang daerah Kerian seluas 48 ekar pula telah diluluskan oleh Kerajaan Negeri pada tahun 2019 kepada PPPNP bagi tujuan pertanian (penternakan udang). PPPNP dalam mesyuarat Jawatankuasa Tanahnya telah meluluskan sewaan tanah kepada sebuah untuk tempoh 5 tahun bagi menjalankan projek ternakan udang.

Susulan daripada isu yang dibangkitkan pihak penduduk yang didakwa mengganggu kelestarian alam dan menjejas pendapatan nelayan, pihak Kerajaan Negeri akan membuat kajian dan telah mengarahkan pihak berwajib untuk mengesahkan dakwaan tersebut, walau bagaimanapun Kerajaan Negeri amat prihatin kepada kelestarian alam dan pendapatan nelayan. 

Hasilnya kerajaan telah menerima maklum berkaitan respon PPPNP yang akan mengambil langkah cakna dan proaktif dengan menghantar surat kepada Pejabat Tanah dan Daerah, PTG Perak, Jabatan Perikanan, Jabatan Hutan dan agensi yang berkenaan bagi mendapatkan pandangan dan penilaian mengenai kesan pelaksanaan projek di atas kedua-dua tanah milik PPPNP tersebut.

Dakwaan tersebut akan dibawa ke peringkat yang lebih tinggi untuk dibincangkan sebelum satu keputusan terbaik dibuat untuk kebaikan semua. Pandangan YAB Menteri Besar selaku pengerusi SADC akan dirujuk bagi mendapatkan pandangan terbaik untuk kepentingan bersama. Kerajaan Negeri sentiasa komited untuk memelihara kelestarian alam serta memastikan tidak ada pihak yang terkesan dengan keputusan yang akan diputuskan khususnya melibatkan para nelayan di Kuala Bagan Tiang.

Dakwaan YB Ahli Parlimen Parit Buntar, Mujahid Yusof Rawa dan beberapa penduduk tempatan akan pencerobohan pada tanah tersebut, sekali lagi penegasan bahawa tanah tersebut adalah milik kerajaan yang telah diserahkan kepada PPPNP pada tahun 2019 dan 2015, Namun sekiranya berlaku ketidakseimbangan ekosistem kepada alam sekitar dan pendapatan nelayan terjejas, Kerajaan Negeri akan melakukan kajian semula bagi menjaga kepentingan penduduk. 

YB RAZMAN ZAKARIA
Pengerusi Jawatankuasa Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Negeri Perak
10 Jun 2021 – HARAKAHDAILY 10/6/2021

- Advertisement -