Covid-19: Pandangan ringkas mengenai urusan dan ekonominya

- Advertisement -

Oleh USTAZ SYAHBUDIN SENIN

- Advertisement -

DUNIA dilanda pandemik Covid-19 yang dikatakan bermula dari Wuhan menjadi perbincangan hangat terhadap penularannya. Semua negara berusaha semaksima mungkin bagi menangkis wabak ini supaya tidak merebak dengan dahsyatnya di lokasi masing-masing.

Data peningkatan kes Covid-19 bagi setiap negara mengalami pecutan yang amat tinggi sehingga menimbulkan kerisauan dan kebimbangan bagi pemerintah serta rakyatnya. Gejala ini tidak terkecuali bagi negara kita Malaysia yang terdedah kepada keterbukaan ekonominya.

Dikatakan bahawa pandemik Covid-19 ini memberi kesan yang buruk kepada ekonomi Malaysia dan kebanyakan pakar ekonomi percaya situasi ini lebih buruk daripada The Great Depression pada tahun 1930-an.

Wabak ini telah dikenalpasti pada Januari 2020, dan diisytiharkan oleh badan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai darurat kesihatan dunia. Namun kerajaan pada ketika itu masih tidak bertindak untuk melakukan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), sehinggalah berlaku pertukaran kerajaan yang menguatkuasakan PKP di seluruh negara.

Usaha pemerintah yang ada sekarang ini adalah semata-mata untuk menjaga kepentingan rakyat.

Usaha di atas dipanjangkan lagi dengan menjalankan kempen-kempen penjagaan kesihatan seperti penjagaan kebersihan. Rakyat dikehendaki selalu membersihkan tangan, tidak bersentuhan, penjagaan jarak dan lain-lain lagi, yang mana ia membiasakan kita ke arah pembudayaan norma baharu.

Wabak yang menyerang ini menguji kita sehingga pada tahap yang menghairankan, apakah ianya sudah lama bermula, baru bermula, fasa pertengahan atau berakhir iaitu pasca Covid-19? Semuanya ini tidak dapat ditentukan malah secara nyata kita boleh anggapkan bahawa wabak Covid-19 masih di peringkat mutasi dan mengganas.

Untuk itu jika ada dakwaan yang mengatakan bahawa Covid-19 yang melanda negara kita sekarang ini sudah masuk ke fasa pasca Covid-19 adalah tidak tepat, malah kempen mereka supaya kerajaan bertindak ke arah tindakan pasca Covid-19 adalah tersasar sama sekali.

Ini kerana segala peraturan dan perancangan yang dilakukan oleh kementerian-kementerian dan jabatan-jabatan yang berkaitan dalam kerajaan adalah berpandukan kepada kepakaran masing-masing tanpa ada kepentingan tersendiri, apatah lagi kepentingan politik.

Dari segi ekonomi pula mereka yang terlibat tidak dipengaruhi oleh mana-mana kuasa politik terbesar, malah kumpulan minoriti politik pula dikatakan tidak mempunyai kuasa yang maksimum apatah lagi berusaha untuk mewujudkan pengaruh bagi mengubah pemikiran rakyat ke arah gelombang yang lebih besar. Apa yang ada kepada mereka hanya sekadar jawatan yang diamanahkan oleh Allah melalui pilihan rakyat yang bekerja untuk rakyat.

Sejak Covid-19 melanda negara kita hampir RM340 bilion telah diperuntukkan oleh kerajaan Malaysia semata-mata untuk rakyat khususnya kepada mereka yang terkesan. Tiga tunggak utama ekonomi Malaysia ketika pendemik ini, iaitu melindungi rakyat, menyokong perniagaan dan memperkukuhkan ekonomi.

Kerajaan juga sentiasa bersedia menghadapi sebarang kemungkinan dengan bertindak semaksima yang mampu, menyediakan bantuan tambahan sekiranya perlu.

Menyedari masih ada keperluan bantuan kewangan dalam kalangan rakyat dan peniaga, pada September 2020, kerajaan segera mengumumkan tambahan peruntukan ke atas beberapa inisiatif sedia ada seperti program subsidi upah, geran khas kepada peniaga mikro serta bantuan kepada isi rumah dan individu berpendapatan rendah dan sederhana melalui pakej KITA PRIHATIN.

Bagi memantau keberkesanan program maka ditubuhkan Unit LAKSANA yang bertindak selaku agensi yang mantap bagi melihat perjalanan aktiviti di 53 kementerian dan agensi kerajaan seluruh negara.

Selain itu strategi ekonomi bagi Malaysia juga ialah mengurangkan kesan kerosakan yang berkekalan kepada ekonomi dan membina daya tahan serta ketangkasan ekonomi pada masa hadapan.

Bagi merancakkan lagi strategi tersebut maka penggalakkan pertumbuhan yang lebih mampan dan inklusif, keperluan pembaharuan yang berterusan bagi dasar dan insentif pelaburan, keperluan segera untuk pembaharuan menyeluruh dalam pasaran pekerja, serta keperluan meningkatkan usaha-usaha pendigitalan adalah menjadi agenda wajib yang paling utama bagi kerajaan.

Kita juga harus mengetahui bahawa menguruskan ekonomi tidak hanya dilihat dari sudut mikro, ia juga perlu diambil kira daripada penekanan makro lebih-lebih lagi mengendalikan ekonomi negara.

Umpamanya dalam makro terkandung padanya berkaitan pengangguran, peluang pekerjaan atau gunatenaga penuh, pendapatan negara, pertumbuhan negara yang dikira melalui Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), inflasi dan deflasi, harga barangan pengguna dan pengeluar dan lain-lain lagi yang perlu dilihat oleh kerajaan untuk menguruskannya.

Sebab itulah kita melihat keputusan yang telah dibuat dengan dipandukan dari data statistik melalui Unit Perancangan Ekonomi dan Jabatan Perangkaan serta jabatan-jabatan lain adalah tertumpu kepada mereka yang benar-benar terkesan dan golongan yang bersasar disekalikan dengan perancangan makro tadi.

Jika kedengaran suara-suara nakal yang mengatakan bahawa pelaksana dasar hanya melihat dari sudut KDNK sahaja adalah tidak masuk akal.

Ini kerana dengan peruntukan yang telah dikeluarkan oleh kerajaan sejak awal 2020 sehingga sekarang kalau hanya semata-mata untuk menaikkan KDNK, nescaya ramailah rakyat kita yang menderita terutama golongan yang terkesan dan huru-haralah negara kita.

Pada pandangan saya biarkanlah kita serahkan kepada mereka yang pakar dan mempunyai keahlian di dalam menguruskan ekonomi dan negara ini. Islam juga melarang kita dengan tegas sekali supaya tidak mengkhianati amanah yang diberikan.

Firman Allah Taala dalam surat al Anfal ayat 27:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لا تَخُونُوا اللَّهَ وَالرَّسُولَ وَتَخُونُوا أَمَانَاتِكُمْ وَأَنْتُمْ تَعْلَمُونَ

“Hai orang-orang yang beriman, janganlah kalian mengkhianati Allah dan rasul, dan jangan pula kalian mengkhianati amanah-amanah yang diberikan kepercayaan kepada kalian, padahal kamu mengetahui.”

Begitu juga janganlah kita sebagai orang Islam memberikan amanah kepada mereka yang bukan ahlinya. Sebesar-besar pengkhianatan ialah apabila kita melantik atau memilih atau memberi kepercayaan untuk mengendalikan satu urusan yang penting atau amanah kepada mereka yang bukan ahlinya.

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam telah memberitahu kepada kita bahawa jika bukan ahlinya yang mengelola, tunggulah kehancuran.

Diriwayatkan dari Abu Hurairah Radadhiyallahu anhu dia berkata, “Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:

إِذَا ضُيِّعَتِ اْلأَمَانَةُ فَانْتَظِرِ السَّاعَةَ. قَالَ: كَيْفَ إِضَاعَتُهَا يَا رَسُولَ اللهِ؟ قَالَ: إِذَا أُسْنِدَ اْلأَمْرُ إِلَى غَيْرِ أَهْلِهِ فَانْتَظِرِ السَّاعَةَ.

“Jika amanah telah disia-siakan, maka tunggulah hari kiamat”. Dia (Abu Hurairah) bertanya, ‘Wahai Rasulullah, bagaimanakah menyia-nyiakan amanah itu?’ Baginda menjawab, “Jika satu urusan diserahkan kepada bukan ahlinya, maka tunggulah kehancuran itu!” [HR. al Bukhari] – HARAKAHDAILY 10/6/2021

Penulis adalah Yang Dipertua PAS Kawasan Alor Gajah.

- Advertisement -