Politik Terengganu: Tindakan tegas sebar berita palsu

Datuk Rohaimi Md Isa
- Advertisement -

KUALA BERANG: Orang ramai dinasihatkan jangan berkongsi sebarang maklumat tidak sahih di media sosial berhubung khabar angin mengenai isu politik di Terengganu, kata Ketua Polis Terengganu Datuk Rohaimi Md Isa.

Beliau berkata tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang didapati menyebarkan berita palsu sehingga mengganggu ketenteraman awam.

- Advertisement -

“Saya ingin menasihati rakyat Terengganu sama ada di dalam atau luar negeri yang berminat dengan isu politik semasa agar tidak menguar-uarkan atau menularkan isu sensitif seperti ini yang tiada kesahihannya.

“Buat masa ini keadaan di Terengganu tenang dan tidak ada daripada sumber rapat atau terdekat yang boleh dipercayai bahawa berlakunya seperti mana ditularkan di media sosial,” katanya kepada pemberita ketika meninjau sekatan jalan raya (SJR) di Hulu Terengganu hari ini.

Rohaimi berkata demikian ketika mengulas laporan sebuah portal berita berhubung kedudukan Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang didakwa dalam situasi genting ketika ini.

Semalam, satu laporan polis telah dibuat oleh Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Terengganu Muhyiddin Abdul Rashid berkenaan laporan portal berita tersebut yang disifatkan berbaur fitnah dan berniat jahat untuk mencemar kredibiliti kepimpinan Ahmad Samsuri. – BERNAMA

- Advertisement -