PH politikkan PICK akhirnya makan diri

KEPUTUSAN Kerajaan DAP Pulau Pinang membatalkan hasrat membeli vaksin COVID-19 ibarat meludah ke langit. Sebelum ini secara tidak semena, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow dan bekas Ketua Menteri, Lim Guan Eng sendiri dilihat memanaskan hal vaksin ini diheret ke kancah politik.

Kononnya hendak meremehkan reputasi dan inisiatif besar sedang diusahakan Kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian Kesihatan bagi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK). Kononnya hendak tunjuk kemampuan dapat mengadakan sendiri dan mendapat sokongan dari tajaan diterima.

Advertisement

Hingga sanggup memperlekehkan pihak lain bahkan mengeluarkan kata kesat ‘kepala hotak’ yang menunjukkan keceluparan dan keangkuhan. Hakikatnya sendiri kena tipu dan malu di mana paling besar mendedahkan kepada ancaman kerugian kewangan atau risiko keselamatan maklumat dan kesihatan rakyat.

PICK yang menelan kos berbilion ringgit diberi secara percuma untuk rakyat ini juga terdengar ura-ura percaturan mendapatkan keuntungan atas angin cuba diraih pihak tertentu di Selangor. Walaupun tidak melibatkan parti politik secara langsung, tetapi pihak terbabit adalah individu dan ada kaitan dengan Pakatan Harapan.

Dari pemberian percuma, bayaran cuba dikenakan. Inikah perangai Pakatan Harapan, hanya mahu mengambil kesempatan untung dari kepentingan boleh diraih melibatkan rakyat kebanyakan? Ketika Kerajaan Perikatan Nasional mencurahkan berbilion ringgit membantu rakyat, Pakatan Harapan dulu setakat memberi RM30 sahaja.

Buruknya, peruntukan sedia diberi menerusi belanjawan terutama kepada golongan rentan seperti nelayan, petani, penternak dan seumpamanya dikurangkan atau ditiadakan langsung. Rakyat miskin terus melarat dan mungkin Pakatan Harapan mengharap mereka akan menagih simpati dari koalisi itu.

Kerana itu sekarang ini rajin sekali pemimpin Pakatan Harapan menularkan usaha bantuan ke atas gelandangan dan rakyat miskin yang sebelum ini dibantu secara politik. Lihatlah, sejak Pakatan Harapan berkuasa dulu, ada satu bangsa sahaja dilihat semakin mewah hidupnya atas banyaknya peruntukan kepada kaum itu.

Syukurlah Pakatan Harapan usianya cuma 22 bulan dipimpin bekas Perdana Menteri 22 tahun. Tetapi politiking buruknya masih berterusan. Mereka bukan pemimpin, tetapi adalah politikus yang ada agenda dan motif kepentingan sempit hingga segala berkaitan negara ini cuba ‘dijual’ kepada kepentingan asing.

MEJAR (B) MANSOR ZAKARIA
ADUN Kuala Ketil – HARAKAHDAILY 9/6/2021