PGA rampas dadah bernilai RM8.67 juta

- Advertisement -

Oleh AIN MANAF

KOTA BHARU: Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya merampas dadah dan pil yaba dengan nilai rampasan sebanyak RM8.67 juta sekali gus dapat menyekat penggunaan dadah melibatkan sasaran 554,000 penagih di seluruh Malaysia.

Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri Dan Ketenteraman Awam (Pasukan Gerakan Am Bukit Aman), Dato’ Kasuahdi Ali berkata, pihaknya merampas sebanyak 41 kilogram dadah dan 720,000 biji pil yaba.

- Advertisement -

Katanya, serbuan menerusi Op Benteng Covid-19 itu dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Batalion 8 PGA di sebuah rumah kosong jam 4.30 petang yang terletak di Kampung Jeram Perdah, Rantau Panjang.

“Pada 7 Jun lalu pasukan risik PGA 8 membuat pemerhatian di sebuah rumah kosong tidak bernombor terletak di Kampung Jeram Perdah dan hasil pemerhatian selama lebih kurang 4 jam didapati terdapat seorang lelaki Melayu berumur 43 tahun masuk ke dalam rumah tersebut.

“Kita telah membuat serbuan dan berjaya menangkap lelaki tersebut, hasil ujian air kencing keatas lelaki tersebut didapati negatif,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas hari ini.

Turut hadir Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kelantan, Asisten Komisioner Sheik Azhar Sheik Omar.

Kata beliau hasil pemeriksaan yang dilakukan dalam serbuan itu menemui lapan bungkusan plastik berwarna hitam di ruang bahagian dapur.

Manakala pemeriksaan lanjut plastik tersebut didapati megandungi 41 kilogram dadah jenis syabu yang mana ia dapat digunakan 410,000 penagih.

Bagaimanapun, bekalan dadah berkenaan dipercayai diperoleh dari negara jiran sebelum dihantar ke sekitar Pantai Timur dan pasaran Lembah Klang dan Johor.

Kasuahdi bagaimanapun berkata, siasatan lanjut terhadap lelaki berkenaan masih dijalankan sama ada ia berperanan sebagai ‘transporter’ atau tauke sindiket.

Katanya, suspek berkenaan juga mempunyai dua rekod jenayah berkaitan dadah itu ditahan reman selama seminggu bermula semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dalam pada itu, pihaknya turut mengakui walaupun dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sindiket pengedaran dadah masih mengambil peluang melakukan kegiatan haram seperti pengedaran dadah.

“Justeru itu, kita akan memperketatkan kawalan sempadan bagi mengekang kegiatan berkenaan,” tambahnya. – HARAKAHDAILY 9/6/2021

- Advertisement -