Pertahan Institusi Raja, jangan bersikap biadab

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: PAS Selangor menggesa seluruh rakyat menghormati Institusi Agong dan Raja-raja Melayu di Malaysia sebagai satu entiti yang lebih tinggi dari sistem politik kerana kedudukannya yang dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan.

- Advertisement -

Menurut Pesuruhjaya PAS Selangor, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi, walaupun rakyat Malaysia mempunyai pandangan politik yang berbeza dengan kerajaan, namun tindakan mengheret isu percaturan politik negara ke dalam Institusi Agong dan Raja-raja Melayu adalah tidak wajar.

“Kewujudan pihak-pihak yang bebas mencemuh dan menghina institusi ini, jelas tidak memahami bagaimana institusi ini berfungsi mengikut lunas Perlembagaan yang diberikan.

“Malahan sikap yang ditunjukkan oleh beberapa individu dan kumpulan yang sengaja mencemuh dan menghina Yang di-Pertuan Agong adalah tidak wajar dan menghilangkan kehormatan yang sewajarnya diberikan kepada Agong yang bertindak secara bijaksana dan teliti berdasarkan nasihat-nasihat pakar.

“Lebih malang lagi, wujud kononnya ‘cadangan-cadangan gesaan’ bagi mencaturkan Institusi Agong dan Raja-raja Melayu menggantikan antara satu sama lain atau memangku, ekoran suasana pandemik yang melanda negara ini dianggap sebagai satu kegagalan kerajaan PN yang mengheret kepada Agong sekarang ini.

“Percaturan politik ini adalah sikap biadab kerana cuba memburukkan suasana dan menjadikan Institusi Agong dan Raja-raja sama taraf dengan ‘gelanggang politik demokrasi’,” ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, status penulisan dan percakapan sedemikian jelas wujudnya satu gerakan yang tersusun yang dapat dilihat sejak kebelakangan ini.

Tindakan itu katanya, dapat merosakkan imej dan kehormatan Institusi Agong dan Raja-raja Melayu.

“Kita perlu membezakan antara mengkritik dan menghina kerana ‘intipati’ tulisan atau ucapan yang tidak memahami jalur dan kedudukan sebenar membawa kepada penghinaan.

“Ini kerana jelas dalam pembinaan kerukunan negara Malaysia meletakkan Institusi Agong dan Raja-raja Melayu sebagai salah satu rukun iaitu Kesetiaan Kepada Raja dan Negara.

“Kerukunan negara ini perlu dipertahankan. Menghilangkan penghayatan ke atas lima Rukun Negara akan menyebabkan kecelaruan kepada sistem yang sedang berjalan dalam negara dan mengalami konflik identiti kerana tidak menyedari hakikat keberadaan di negara ini.

“Setiap negara ada kerukunan dan sistem yang tersendiri berdasarkan lakaran sejarah dan perbezaan geografi masing-masing,” jelasnya.

Justeru itu, beliau mewakili PAS Badan Perhubungan Selangor Selangor menegaskan bahawa Institusi Agong dan Raja-raja Melayu ini perlu dipertahankan.

Selain itu, beliau turut menyeru rakyat Malaysia menjaga kehormataan serta kesuciaan institusi itu dari tangan-tangan perosak yang mahu mengubah Malaysia seakan-akan mengikut kiblat komunis.

Beliau dalam masa sama turut mendesak agar pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dapat mengambil tindakan tegas dan pantas bagi mengekang sebarang usaha yang cuba meruntuhkan Institusi Agong dan Raja-raja Melayu di Malaysia. – HARAKAHDAILY 9/6/2021

- Advertisement -