KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mempengerusikan sesi Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu di Istana Negara, 16 Jun ini.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata perbincangan khas itu adalah berkaitan dengan usaha-usaha memerangi penularan jangkitan wabak Covid-19 dan pelaksanaannya semasa tempoh darurat.
“Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu ini adalah atas inisiatif Seri Paduka Baginda dan akan dipengerusikan oleh Baginda,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Pada 12 Jan lepas, Al-Sultan Abdullah mengisytiharkan Proklamasi Darurat dilaksanakan di seluruh negara hingga 1 Ogos 2021 atau sehingga suatu tarikh yang lebih awal sebagai langkah proaktif untuk membendung pandemik Covid-19.
Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu itu adalah kali kedua diadakan di Istana Negara sejak Al-Sultan Abdullah menaiki takhta sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 31 Jan 2019.
Kali pertama Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu adalah pada 25 Okt tahun lepas. – BERNAMA
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!