MP Marang hargai petugas barisan hadapan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Marang, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang sangat menghargai kesungguhan yang ditunjukkan oleh barisan hadapan dalam usaha mencegah dan merawat jangkitan wabak Covid-19.

Sehubungan itu, demi menghargai usaha ikhlas para petugas barisan hadapan, Pusat Khidmat Ahli Parlimen Marang telah memberikan agihan bantuan kepada mereka di Dewan Sivik Bukit Payong, kelmarin.

- Advertisement -

Pusat Khidmat Ahli Parlimen Marang dalam satu kenyataan menerusi laman Facebooknya menyatakan sumbangan itu sebagai suatu penghargaan daripada Tuan Guru Abdul Hadi.

Ini, katanya kerana mereka berpenat lelah memastikan masyarakat mendapat suntikan vaksin bagi membina imuniti kelompok dalam kalangan rakyat.

“Sumbangan ini turut dihulurkan kepada rakyat Marang yang secara sukarela mengambil suntikan vaksin Covid-19,” menurut kenyataan itu.

Katanya, ia suatu penghargaan daripada Ahli Parlimen Marang kepada orang ramai yang menyahut seruan kerajaan untuk mendapatkan suntikan vaksin Covid-19.

Sumbangan itu disampaikan melalui ADUN Bukit Payong, Mohd Nor Hamzah dan Pegawai Khas Ahli Parlimen Marang, Haron Yusof.

“Semoga sumbangan yang dihulurkan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban rakyat serta memberikan semangat kepada petugas barisan hadapan kita,” ujarnya yang turut dikongsi di laman Facebook Tuan Guru Abdul Hadi, semalam. – HARAKAHDAILY 9/6/2021

- Advertisement -