Institusi Agong, Raja Melayu perlu dipertahan

- Advertisement -

KOTA BHARU: Institusi Agong dan Raja-raja Melayu perlu dipertahankan kerana kedua-dua institusi itu merupakan lambang agama, keadilan dan perpaduan rakyat.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Dato’ Mohd Amar Abdullah berkata, semua pihak perlu menghormati institusi tersebut demi kerukunan kehidupan rakyat pelbagai kaum dan agama di negara ini.

“Agong dan Raja-raja Melayu berada di atas politik (above politics) di mana tidak wajar ada pihak cuba memperlekehkan badan tersebut,” katanya di sini hari ini.

- Advertisement -

Semalam Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) mendakwa wujud gerakan mencadangkan supaya Yang di-Pertuan Agong (YDPA) diberikan cuti rehat selama enam bulan dan tugas YDPA akan dijalankan Timbalan YDPA Sultan Nazrin Shah.

Pengerusi UMMAH Mohd Zai Mustafa memberitahu gerakan terbabit pula mencadangkan tempat Raja Nadzrin Shah akan digantikan Sultan Johor sebagai Timbalan YDPA.

Menurutnya pihak terbabit menyifatkan Sultan Perak dan Sultan Johor dilihat sebagai gandingan yang mantap pada saat-saat cemas seperti sekarang kerana baginda dikatakan memiliki keberanian dan ketegasan.

“Perkara itu ditulis seorang individu bernama Kamaludin Endol yang disebarkan melalui media sosial, khususnya melalui WhatsApp mutakhir ini.
Tulisannya bertajuk ‘Sultan Nazrin Shah Yang di-Pertuan Agong?’ bertarikh 1 Jun 2021.

“Mereka juga mendakwa sekarang Raja-raja Melayu nampaknya bagaikan kehilangan fungsinya dan Majlis Raja-raja Melayu seolah-olah merelakan ketidakadilan.

“Manakala tulisan kedua pula bertajuk ‘Agenda Reset Malaysia: Jangan Halang Kemaraan ARM’ bertarikh 3 Jun 2021,” kata Mohd Zai.

Difahamkan sebuah gerakan beragenda bernama ‘Agenda Reset Malaysia’ yang diilham pada penghujung tahun lalu dianggap cuba menentang dan melawan sistem atau kerajaan yang sedia ada.

Gerakan itu dikatakan juga mempunyai dana begitu besar untuk melakukan kebangkitan yang cuba menamatkan sistem demokrasi.

Bagaimanapun dalam perkembangan berkaitan Naib Presiden PAS, Senator Idris Ahmad menjelaskan kebijaksanaan YDPA mengisytiharkan Proklamasi Darurat pada Januari lalu merupakan keputusan tepat selaras dengan Fasal (1) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan.

Kata beliau baginda terbukti melaksanakan pentadbiran negara dengan penuh adil dan bijaksana sepanjang mengurus wabak Covid-19 serta polemik politik negara.

“Hal ini amat penting bagi memastikan kerajaan dapat memberi sepenuh perhatian terhadap usaha menangani Covid-19,” ujarnya semalam. – HARAKAHDAILY 9/6/2021

- Advertisement -