Hikmah kebijaksanaan Agong selesaikan masalah

- Advertisement -

DEWAN Pemuda PAS Malaysia mengambil maklum atas berita yang tersebar bahawa satu pertemuan akan diadakan antara KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong bersama pemimpin-pemimpin parti politik, wakil dari Parlimen serta wakil dari Pejabat Peguam Negara.

Pertemuan SPB Yang di-Pertuan Agong dengan pemimpin-pemimpin parti politik adalah suatu perkara yang jarang berlaku di zaman pemerintahan sebelum ini. Namun, ianya telah menjadi kelaziman bagi KDYMM Tuanku Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, untuk mengadakan pertemuan dengan pemimpin-pemimpin parti politik khususnya dalam isu melibatkan politik dan pemerintahan negara. Sebelum ini juga, KDYMM Tuanku telah mengadakan pertemuan yang sama semasa negara menghadapi kemelut politik, sehingga atas kebijaksanaan dari tindakan Baginda, akhirnya penyelesaian ditemui dan kemelut dapat dihentikan.

- Advertisement -

Dalam hal ini, Pemuda PAS merakamkan sembah takzim atas kebijaksanaan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. Tindakan ini sewajarnya dipuji, serta menunjukkan hikmah dan sifat kepimpinan KDYMM Tuanku yang sangat mementingkan permusyawaratan dalam menyelesaikan permasalahan yang berlaku.

Pemuda PAS juga menyanjung tinggi atas perkenan YDPA dalam pembentukan Special Committe Darurat

Sewajarnya tindakan dan kebijaksanaan KDYMM SPB Yang di-Pertuan Agong dihargai semua pimpinan politik, dan tidak disalahgunakan oleh sebahagian pemimpin yang tamakkan kuasa. Sebarang usaha menimbulkan provokasi dan ketidakpercayaan kepada KDYMM Tuanku, seperti yang dimainkan sesetengah parti politik, adalah suatu tindakan derhaka dan khianat. Pemuda PAS memberi amaran kepada mana-mana ahli politik yang ingin menyalahgunakan peluang ini untuk mendapatkan kuasa, jangan berani bertindak bodoh sehingga menggugat kesejahteraan dan keamanan negara dalam tempoh pandemik ini. 

Pemuda PAS menyeru seluruh rakyat Malaysia agar menzahirkan sokongan penuh terhadap usaha KDYMM SPB Yang di-Pertuan Agong, serta mendoakan kesejahteraan dan keamanan negara Malaysia. Semoga kita semua sentiasa bersatu dalam melawan pandemik COVID-19 yang mengancam nyawa kita, serta membangunkan kembali negara ke arah yang lebih baik.

IR. KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
Ketua
Dewan Pemuda PAS Malaysia – HARAKAHDAILY 9/6/2021

- Advertisement -