Harga minyak masak perlu diselaras agar tidak bebankan rakyat

- Advertisement -

PEMUDA Perikatan Nasional mengambil cakna mengenai isu peningkatan harga minyak masak yang sedang dilihat membebankan banyak sektor pengguna. Pihak kami telah mendapat banyak maklum balas daripada pelbagai peringkat masyarakat dan telah pun turun padang untuk melihat serta menilai situasi terbabit. 

Hasil tinjauan kami, harga minyak masak memang berlaku peningkatan. Minggu lalu, harga minyak masak 5kg adalah sekitar RM25-RM28. Minggu ini, harganya mencecah RM32-RM36. Pihak Pemuda Perikatan Nasional juga mengambil maklum KPDNHEP dan Kementerian Perladangan dan Komoditi telah mengeluarkan kenyataan mengenai situasi ini.

- Advertisement -

Walau bagaimanapun, memahami keperluan minyak masak merupakan antara keperluan utama isi rumah dan peniaga makanan, pihak Pemuda Perikatan Nasional telah mengadakan perbincangan dalaman dan ingin mengemukakan kepada pihak berwajib cadangan-cadangan seperti berikut:

1. Memohon pihak KPDNHEP mengambil tindakan tegas pada peniaga yang menaikkan harga.

2. Memohon Kerajaan menawarkan formula baru untuk subsidi minyak masak 5kg dan ke atas.

3. Memperkenalkan subsidi bertempoh selama 3 ke 6 bulan untuk minyak masak 5kg.

4. Menambah kuota pengeluaran minyak masak bersubsidi 1kg dari 60,000 tan sebulan sekarang.

5. Menggesa KPDNHEP menetapkan harga minyak masak dalam pasaran.

6. Menggesa KPDNHEP menjalankan operasi pemeriksaan anti pencatuan secara besar-besaran ke atas premis yang menyembunyikan minyak masak untuk menaikkan harga.

7. Memohon pihak KDN meningkatkan operasi mencegah penyeludupan minyak masak yang menyebabkan berlakunya ketirisan bekalan tempatan.

8. Memohon pihak kerajaan menstabilkan bekalan dalam negara dengan menyeimbangkan peratusan eksport dan keperluan bekalan minyak masak dalam negara.

9. Menggesa solusi jangka panjang seperti pengurangan kos pembotolan antara yang menyumbang harga tinggi kepada bekalan minyak 5kg ke atas, alternatif kepada kaedah pembotolan minyak untuk kawal harga perlu difikirkan.

Pihak Pemuda Perikatan Nasional akan membawa cadangan-cadangan ini kepada Kementerian-Kementerian terbabit dalam tempoh segera supaya isu kebajikan rakyat sentiasa menjadi teras utama fokus pentadbiran negara. 

Pemuda Perikatan Nasional juga ingin mengajak para pengguna untuk menggunakan kuasa beli pengguna untuk memberi tekanan kepada pengeluar supaya dapat menurunkan harga minyak masak dengan menurunkan tekanan permintaan bekalan untuk satu tempoh tertentu. 

Pemuda Perikatan Nasional dan komponen akan menggerakkan ahli untuk menjadi mata dan telinga kepada KPDNHEP, Kementerian Dalam Negeri untuk melapor semua aktiviti yang menjejaskan kepentingan pengguna dalam negara melalui saluran-saluran yang disediakan. 

Pemuda Perikatan Nasional akan terus menjalankan fungsi dan peranan semak dan imbang untuk memastikan kebajikan rakyat sentiasa menjadi fokus perjuangan utama Perikatan Nasional.

YB SENATOR IR. TS. KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
Ketua Pemuda 
Perikatan Nasional – HARAKAHDAILY 9/6/2021

- Advertisement -