Fahami bagaimana COVID-19 bawaan udara

- Advertisement -

KAJIAN terkini mendapati virus COVID-19 merebak melalui udara? Namun perlu difahami, merebak melalui udara itu bukan seperti hawar bawaan angin. Adalah tidak benar dan tidak tepat jika terdapat sebaran menyatakan bawa kes boleh berjangkit apabila ia berada di tempat jemuran luar rumah ataupun berkebun di luar rumah.

Jika berlaku kematian seperti itu perlu disiasat apakah punca kematiannya. Di mana kes yang disebutkan beberapa hari lalu itu mati bukan akibat COVID-19, tetapi akibat daripada serangan Asma. Maknanya jika satu kampung dijangkiti oleh COVID-19, angin dari kampung A yang bergerak ke kampung B tidak boleh menyebabkan kampung B itu turut dijangkiti.

- Advertisement -

Jangkitan COVID-19 masih lagi tertakluk kepada pertemuan fizikal manusia, duduk dekat-dekat, berkumpul ramai sama ada di kedai kopi, kedai makan, masjid atau tempat-tempat awam. Hasil dari pergerakan manusia itulah yang menjadi penentu utama wabak berlaku. Sebagaimana kita tahu bahawa sekarang ini sudah hampir lebih 80 peratus kes adalah berbentuk sporadik, di mana tidak diketahui siapa indeks kes. Oleh itu semua dari kita adalah berisiko untuk dijangkiti.

WHO telah mengisytiharkan COVID-19 boleh berlaku melalui bawaan udara atau Airborne. Apa maksudnya?

1. Pemahaman kita sebelum ini adalah jangkitan boleh berlaku apabila berada dengan jarak yang dekat kurang dari 1 meter dan pertemuan fizikal melebihi 15 minit mempunyai risiko tinggi untuk dijangkiti. Tetapi pengkaji menemui lebih daripada itu, di mana kebolehjangkitan bergantung kepada kepatuhan kita kepada SOP di sesuatu lokaliti, ruang tertutup atau tidak di lokasi tersebut dan pengudaraan. Jika ianya tertutup dan pengudaraan yang secara berpusat di sinilah boleh berlaku jangkitan bawaan udara.

2. Setakat ini pengkaji tidak menemui sebaran jarak jauh seperti bersebelahan bilik ataupun bersebelahan rumah atau bersebelahan kampung walaupun terdapat kes-kes terpencil yang dilaporkan perjan terjadi demikian. Jika ianya juga berlaku kemungkinan besar ia adalah berpunca daripada pergerakan manusia juga, cuma tidak diketahui secara jelas.

3. Kefahaman kita sebelum daripada ini bahawa orang yang bekerja sahaja yang boleh menjangkiti seperti batuk dan bersin. Tetapi kajian mendapati, 59 peratus daripada kes tidak bergejala positif boleh merebak secara bawaan udara melalui percakapan dan pernafasan.

4. Penggunaan PPE oleh frontliners didapati hanya mencegah daripada jangkitan secara droplet tetapi terdapat ruang-ruang udara yang boleh lagi dimasuki dan menjadi punca kepada jangkitan. Di sinilah memerlukan lagi penambahbaikan pemakaian PPE, pemakaian penutup muka secara dua lapis, sentiasa menjarakkan diri sebaik mungkin dari kes positif dan penggunaan sanitizer.

5. Virus COVID-19 masih lagi berada di persekitaran udara setempat itu sekitar 3 jam dan jangka hayat separuh COVID-19 (t half) adalah sejam setengah.

6. Vaksin adalah langkah terbaik untuk mencegah diri kita dan keluarga kita dari terus dijangkiti oleh COVID-19.

DR SUHAZELI ABDULLAH
Pakar Perubatan Keluarga
Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Rujukan:
Trisha Greenhalgh, Jose L Jimenez, Kimberly A Prather, Zeynep Tufekci, David Fisman, Robert Schooley. Ten scientific reasons in support of airborne transmission of SARS-CoV-2. The Lancet Journal; T| VOLUME 397, ISSUE 10285, P1603-1605. April 15, 2021. – – HARAKAHDAILY 9/6/2021

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -