Dapat capai ‘herd immunity’ dalam dua bulan

PAGI ini saya membuat tinjauan ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pasir Mas yang terletak di Dewan Majlis Daerah Apam Putra, Lubuk Jong. PPV ini merangkumi Parlimen Pasir Mas dan Parlimen Rantau Panjang yang mana kedua-duanya berada di dalam pentadbiran Pejabat Tanah dan Jajahan Pasir Mas. Terima kasih kepada Dr. Shahidawati binti Setapa selaku Ketua PPV dan Encik Hazmi Abdul Hamid, Ketua Jajahan Pasir Mas yang menyambut kehadiran saya sekali gus memberikan taklimat berhubung proses pemberian vaksin.

Saya dimaklumkan kapasiti penerima vaksin setiap hari di PPV ini sekitar 1000 – 1200 orang di mana kadar kehadiran berada di paras sekitar 65 peratus setiap hari. Kesedaran untuk menerima vaksin semakin meningkat namun ia perlu ditingkatkan lagi supaya setiap penerima vaksin yang sudah berdaftar akan hadir untuk menerima vaksin. Buat masa sekarang, PPV perlu menyediakan senarai tambahan yang terdiri daripada frontliner komuniti bagi tujuan ‘standby’jika penerima yang dijadualkan tidak dapat hadir.

Advertisement

Isu sekarang ialah bekalan vaksin yang masih tidak mencukupi. Senarai menunggu yang disediakan untuk program outreach telah mencecah ribuan individu yang siap sedia untuk divaksin. Tuan Ketua Jajahan memaklumkan kepada saya bahawa sasaran bersama Pejabat Kesihatan Daerah ialah 3,000 vaksin yang diberikan setiap hari sekiranya bekalan vaksin sampai dengan lancar. Jika ini dapat dicapai, Pasir Mas boleh mencapai ‘herd immunity’ dalam masa dua bulan dengan jumlah pemberian vaksin seramai 140,000 individu. 

Saya akan sampaikan permohonan khusus kepada pihak MOSTI agar keutamaan dapat diberikan kepada kawasan-kawasan yang terlibat dengan banjir seperti Pasir Mas yang mana cuaca sejuk dikatakan akan lebih mempercepatkan penularan wabak COVID-19. Terima kasih kepada semua agensi terlibat di PPV terutama frontliner dan sukarelawan.

USTAZ AHMAD FADHLI SHAARI 
Ahli Parlimen Pasir Mas – HARAKAHDAILY 9/6/2021