Allah dihina pendukung LGBT, Atheis di media sosial

Allah
- Advertisement -

BENTONG: PAS Kawasan Bentong bersama Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) Negeri Pahang telah membuat laporan polis berkaitan satu lukisan grafik yang menghina Allah di Ibu Pejabat Polis Daerah Bentong, di sini pagi tadi.

- Advertisement -

Lukisan grafik Kaabah berwarna-warni yang tertera tulisan ‘Allah Is Gay’ yang dicetak pada sehelai baju-t putih berlatar belakangkan lambang ‘Atheist Republic’ itu dimuat naik di laman Facebook ‘Love Of LGBTQ Malaysia’ pada 3 Mei lalu.

Muat naik dipercayai oleh pemiliknya itu dilihat disengajakan yang bermotif penghinaan dan provokasi untuk dicetus oleh golongan ini bagi menaikkan kemarahan orang ramai khususnya penganut agama Islam di negara ini.

“Mengapa pilih untuk berkurang ajar seperti ini? Jangan ingat kami akan berdiam diri. Saya, mewakili PAS Kawasan Bentong berkolaborasi bersama UMMAH Pahang mahu kerajaan dan agensi penguat kuasa bertindak tegas dan serius terhadap penghinaan ini.

“Kita mesti ajar puak-puak yang kurang ajar ini kerana mereka secara jelas semakin hari semakin bertambah berani menghina Allah dan mempermain-mainkan kesucian agama islam,” tegas Timbalan yang Dipertua PAS Bentong, Ustaz Roslan Mad Esa.

Beliau yang juga merupakan Pengerusi Ummah Pahang hadir membuat laporan polis ditemani Ahli Jawatankuasa PAS DUN Ketari, Fairuz Masuri dan wakil Assabiqun PAS Bentong, Mohd Jamel Kassim.

Untuk rekod, UMMAH sudah lama memantau individu bernama Armin Navabi berbangsa Yahudi; dipercayai pengasas Atheist Republic, sebuah NGO yang mempromosikan kelompok lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) serta hak asasi manusia.

Beliau pernah memuat naik satu video menggunakan tajuk yang sama ‘Allah Is Gay’ di laman mukabuku beliau sekitar tahun 2018. – HARAKAHDAILY 9/6/2021

- Advertisement -