Agong ‘penstabil’ politik negara

- Advertisement -

Oleh NUR HASMIRA MOHAMAD

KUALA LUMPUR: Dewan Himpunan Pendukung PAS Pusat (DHPP) merafak sembah mengucapkan setinggi tahniah kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sempena ulang tahun Hari Keputeraan Rasmi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang disambut pada Isnin.

Pengerusi DHPP, Senator N. Balasubramaniam menzahirkan ucapan tahniah itu melalui satu hantaran di akaun Facebooknya pada Isnin dengan disertakan sekeping poster pasangan diraja yang mengenakan busana rasmi kerabat raja.

- Advertisement -

Yang di-Pertuan Agong menjadi simbol tonggak perpaduan negara yang menyatukan kepelbagaian kaum di negara ini malah memainkan peranan utama menjadi ‘penstabil’ politik negara yang dipenuhi dengan ahli-ahli politik yang punyai pelbagai muslihat rakus untuk merebut kuasa pentadbiran negara.

Bagaimanapun, peristiwa pada Februari 2020, julung kalinya generasi baharu lapisan rakyat di negara ini menyaksikan hari bersejarah akan kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong menguruskan krisis politik di saat negara dibadai wabak Covid-19.

Menurut Ketua Penerangan DHPP, Dr Balachandran Gopal Krishnan, institusi diraja adalah benteng awal dan akhir yang wajar dipertahankan selari dengan Perlembagaan Negara dan Rukun Negara yang mengkehendaki setiap rakyat mematuhinya.

Yang di-Pertuan Agong akan menjadi rujukan utama untuk mengekalkan kestabilan dan keharmonian negara jika krisis politik negara semakin melarat sehingga menjejaskan kedaulatan negara.

Ia juga selari dengan konsep penyatuan ummah yang merupakan inisiatif yang akan mengubah persada politik tanah air.

“Pandangan saya mengenai penyatuan ummah adalah sebuah naratif yang mampu mengubah persada politik negara, sekiranya penyatuan ini dibuat antara ahli-ahli politik dengan rasa yang cukup ikhlas dan berjiwa besar.

“Sebab perkataan ummah ini bermaksud masyarakat ataupun bangsa tetapi selalunya disalah tafsir oleh orang-orang yang jahil dalam sejarah Islam dan mereka menganggap sebagai eksklusif untuk satu bangsa sahaja.

“Kegunaannya dijelaskan dalam Piagam Madinah, dokumen awal yang menyatakan hasil rundingan Rasulullah SAW, pada 622 Masehi dengan ketua-ketua kabilah Madinah yang sudah jelas merujuk kepada Yahudi, Kristian yakni Nasrani, dan masyarakat Badri di Madinah sebagai sebahagian daripada ummah.

“Di sini boleh kita katakan bahawa ia bukan merujuk kepada satu bangsa, ia merujuk kepada satu komuniti dan bila kita kata penyatuan ummah dalam konteks negara kita, ialah harus diterjemahkan sebagai penyatuan masyarakat, ini pandangan saya,” ujarnya mengulas konsep penyatuan ummah.

Walau bagaimanapun, konsep ini menjadi celaru apabila ummah itu dianggap satu bangsa semata-mata dan perkara ini katanya memerlukan penjelasan yang tuntas.

Ulasnya, keharmonian penyatuan ummah akan wujud dalam suasana yang sejahtera bila ia dipimpin dan dilaksanakan oleh warga majoriti di Malaysia yang terdiri daripada penganut Islam dan Melayu sekali gus melengkapkan syarat bahawa Islam yang wajib memimpin negara ini secara adil tanpa sebarang politik perkauman.

“Konsep ini tertakluk di negara yang dihuni oleh yang lebih majoriti, misalnya di negara seperti Rom, orang Kristian lebih ramai, maka orang Kristian wajib memimpin. Ini yang saya maksudkan, di Malaysia ini penganut Islam lebih ramai dan merupakan majoriti di negara ini jadi wajib memimpin penyatuan ummah ini.

“Yang penting, jika ia tidak berasaskan kepada suatu yang ikhlas dan juga Islam tidak memimpinnya ia akan hanya menjadi retorik yang hanya tinggal impian belaka,” tambahnya. – HARAKAHDAILY 9/6/2021

- Advertisement -