KUALA LUMPUR: Kerajaan DAP Pulau Pinang dianggap gagal meyakinkan ahli parlimen Pakatan Harapan (PH) sehingga ada ahli Parlimen PKR menentang projek Tambakan Laut Selatan Pulau Pinang (PSR).
Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Ustaz Muhammad Fauzi Yusoff berkata, terbaharu Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar turut menentang projek tersebut.
Katanya, apa yang berlaku itu jelas membenarkan apa yang PAS Pulau Pinang suarakan berkenaan projek berkenaan sebelum ini.
“Ini membuktikan Kerajaan PH gagal meyakinkan sesama mereka terhadap projek yang menjadi impian kerajaan DAP,” katanya.
Selasa lepas Nurul Izzah menggesa kerajaan pusat dan kerajaan negeri supaya membatalkan projek PSR serta-merta.
Malah pemimpin PKR terbabit menyifatkan projek tersebut tersasar daripada tujuan asalnya, sebaliknya lebih banyak menumpukan kepada kepentingan sesetengah pihak serta mengabaikan kelestarian alam sekitar dan menjejaskan golongan nelayan.
Sementara itu seorang nelayan Sungai Batu, Zakaria Ismail mendakwa kerajaan Pulau Pinang ingin meneruskan pembinaan pulau bermula dengan Pulau A, berbanding Pulau B.
Katanya, pelan penambakan yang diihat cukup menggerunkan. Fasa awal tambakan Pulau A akan membentuk satu fenomena air pasang surut laut yang membahayakan.
“Jadi tentulah ia mengancam dan membahayakan nyawa nelayan-nelayan di Gertak Sanggul, Teluk Kumbar, Sungai Batu, dan Permatang Tepi Laut,” katanya ketika dihubungi di sini.
Pelaksanaan PSR membabitkan projek pembangunan tiga pulau buatan berkeluasan 1,700 hektar. Kerajaan DAP mengimpikan pulau buatan itu mampu menyaingi Marina Bay di Singapura.
Projek tersebut bagi membiayai pelbagai projek infrastruktur. Antaranya pembinaan Transit Aliran Ringan (LRT), monorel, teksi air, kereta kabel, terowong dasar laut dan beberapa lebuh raya.
Sebagai jalan pintas PSR menjadi taruhan untuk membiayai kos Pelan Induk Pengangkutan (PIP) dianggar bernilai RM49 bilion.
Malah ketika PH mentadbir Putrajaya kerajaan DAP itu dikatakan mengajukan permohonan kepada kerajaan pusat dana RM10 bilion. – HARAKAHDAILY 8/6/2021
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!