Politik berteras agama untuk tegak kebenaran, tidak rebut kuasa

PERSAINGAN kuasa di kalangan ahli-ahli politik telah membuatkan mereka sanggup melakukan apa sahaja, termasuk memfitnah, mencerca, memaki hamun dan sebagainya, sehingga sanggup membunuh imej atau nyawa musuh-musuh politik mereka. Inilah amalan politik yang membuat masyarakat umum mengatakan ‘politik itu kotor’. Ia ditambah lagi dengan kegilaan orang-orang yang berkuasa menyalahgunakan kedudukan mereka untuk berbuat kezaliman, menindas rakyat dan menyelewengkan harta negara.

Inilah sebenarnya penyakit politik apabila tidak berasaskan agama. Mereka tidak berfikir mengenai dosa dan pahala. Apa yang mereka fikir ialah bagaimana menghancurkan musuh-musuh politik mereka, walaupun mungkin saudara mereka sendiri. Objektif mereka adalah untuk berkuasa. Politik Sekular seperti ini telah terbukti merosakkan manusia dan kemanusiaan berzaman-zaman. Manusia yang asalnya dicipta sebagai sebaik-baik kejadian, lengkap dengan akal fikiran, telah menggelongsor jatuh ke tempat yang paling hina, lebih hina daripada binatang.

Advertisement

Islam datang dengan menawarkan politik-politik ‘patuh syariah’ yang berasaskan kebenaran. Kuasa bukan matlamat, tetapi alat untuk membolehkan mereka menegakkan kebenaran. Tiadalah kebenaran yang lebih tinggi, selain daripada mentauhidkan Allah dan berabdi dengan taat kepada-Nya dalam semua aspek kehidupan. Kerana itu, di dalam Surah an-Nisa’ (4: 58-59), Allah menggariskan panduan berpolitik kepada manusia supaya:

1. Rakyat menyerahkan amanah kepemimpinan kepada ahlinya sahaja, iaitu orang yang membawa manusia kepada mentauhid dan berabdi kepada Allah.

2. Pemimpin yang dipilih untuk memerintah hendaklah berlaku adil dengan melaksanakan seluruh perintah Allah dan meninggalkan larangannya.

3. Ketika pemimpin berlaku adil dengan mentaati Allah dan Rasul, wajiblah rakyat memberikan taat kepada mereka.

4. Apabila ada perselisihan di antara rakyat dan pemimpin, mereka tidak boleh saling memfitnah atau mencaci maki, termasuk membunuh. Sebaliknya mereka mesti merujuk penyelesaian kepada al-Quran dan Sunnah, di mana para ulamak bertanggungjawab membimbing rakyat dan kerajaan supaya memahami kehendak al-Quran dan Sunnah dalam menyelesaikan perselisihan yang timbul.

Apabila memerhatikan gelagat para pemimpin politik dan rakyat yang terjebak di dalam politik emosi sekarang, nampaklah kita bahawa orang kita tidak beramal dengan gagasan politik wahyu itu, sebaliknya mereka berpolitik mengikut hawa nafsu. Politik mereka adalah untuk berebut kuasa, bukan untuk menegakkan kebenaran. Kuasa pula mereka gunakan untuk kemegahan, bukan untuk menundukkan diri kepada Tuhan. Lantaran itu, timbullah penyelewengan, kezaliman dan penindasan sehingga sanggup memfitnah, mencaci maki dan membunuh lawan politiknya.

Teringat saya kepada buku Leviathan karangan ahli falsafah Barat, Thomas Hobbes (1588-1679) yang saya kaji pada 1998 di dalam kuliah Sarjana dahulu. Hobbes mengomentari kerakusan ahli-ahli politik ketika berlaku persaingan kuasa di antara Ahli-ahli Parlimen British dengan Raja Charles I. Kata beliau:

“Jika terdapat dua orang yang menghendaki barang yang sama, tetapi kedua-duanya tidak dapat bersama-sama menikmati barang tersebut, mereka akan mencipta permusuhan. Akhirnya untuk mencapai satu keputusan, kedua-dua mereka harus menumpaskan antara satu sama lain.”

Inilah ungkapan Hobbes mengenai fikiran manusia politik yang tidak bertunjang agama! Berpolitiklah untuk keselamatan dunia dan akhirat, bukan berpolitik untuk memuaskan kerakusan nafsu serakah!

MOHD FADLI GHANI – HARAKAHDAILY 8/6/2021