Pertahan Institusi Diraja selaras Perlembagaan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah terbukti melaksanakan pentadbiran negara dengan penuh adil dan bijaksana sepanjang mengurus wabak Covid-19 serta polemik politik negara.

Naib Presiden PAS, Senator Idris Ahmad berkata, kebijaksanaan baginda berkenan mengisytiharkan Proklamasi Darurat pada 12 Januari lalu merupakan keputusan tepat selaras dengan Fasal (1) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan.

“Hal ini amat penting bagi memastikan kerajaan dapat memberi sepenuh perhatian terhadap usaha menangani Covid-19.

- Advertisement -

“Kuasa Yang di-Pertuan Agong selaku ketua negara telah dijalankan sebaiknya dengan membenarkan pelaksanaan pentadbiran badan eksekutif mengikut kedaulatan undang-undang dalam menyelesaikan isu ancaman nyawa,” katanya.

Kata Idris yang juga Ahli Dewan Negara, ketika negara berada di fasa kritikal semasa peletakan jawatan Perdana Menteri ke-tujuh, Tun Dr Mahathir Mohamad, Sultan Abdullah menguruskan polemik politik negara dengan kebijaksaan baginda bersama Majlis Raja-Raja Melayu.

“Proses bagi mengisi kekosongan jawatan penting negara itu telah dilaksanakan dengan penuh adil mengikut sistem perundangan dan Perlembagaan negara.

“Setelah dua minggu negara tidak mempunyai Perdana Menteri, akhirnya polemik dapat diselesaikan sekali gus menstabilkan semula negara dengan aman tanpa ada kekacauan dan pertumpahan darah,” katanya pada satu kenyataan media, hari ini.

Justeru itu, tegasnya wajar seluruh rakyat mempertahankan Institusi Diraja sebagai payung negara selaras Perlembagaan Persekutuan.

“Rakyat Malaysia bersatu hati mendukung KDYMM Tuanku serta segala keputusan baginda demi menjaga kedaulatan dan keamanan negara,” katanya. – HARAKAHDAILY 8/6/2021

- Advertisement -