‘Perang Saif Al-Quds’: Medan penyatuan ummah

aqsa

RAMADAN baru-baru ini sekali lagi kita menyaksikan serangan daripada rejim zionis terhadap umat Islam. Malah tindakan regim ini yang melepaskan tembakan gas pemedih mata terhadap lebih 200 orang rakyat Palestin sewaktu menunaikan ibadah di akhir bulan Ramadan di Masjidil Aqsa telah mengundang siri peperangan dan kebangkitan rakyat Palestin menentang rejim zionis.

Tidak hanya mencabuli Masjidil Aqsa, tindakan pihak Israel yang telah mengusir penduduk Palestin di kawasan perumahan Sheikh Jarrah menjadi asbab terjadinya siri serangan roket dan pengeboman di antara pejuang Hamas yang memerintah di kawasan Semenanjung Gaza dengan rejim Zionis Israel.

Rentetan daripada penyerangan dan pengeboman yang berlangsung sepanjang 11 hari ini telah menyebabkan berlaku kematian dan kemusnahan yang besar di Semenanjung Gaza dan beberapa kawasan lain.

Advertisement

Menurut satu laporan yang dikeluarkan oleh agensi berita Aljazeera, sewaktu genjatan senjata tanpa syarat yang diumumkan Israel, telah terdapat ramai mangsa di pihak rakyat Palestin. Pada waktu genjatan senjata tersebut, telah terdapat seramai 227 orang telah terbunuh yang terdiri daripada 63 orang kanak-kanak. Seramai 1,620 orang pula telah cedera, manakala seramai 72,000 orang kehilangan tempat tinggal akibat daripada serangan roket rejim zionis.

Jumlah mereka yang syahid meningkat setelah penduduk Gaza melakukan kerja mencari dan menyelamat serta pembersihan kawasan setelah rejim zionis menghentikan serangan pada hari ke-8 Syawal yang jatuh pada hari Jumaat 21 Mei 2021. 

Kesan serangan itu juga dicatatkan banyak kemusnahan bangunan yang melibatkan perumahan orang awam, prasarana seperti hospital dan masjid turut dimusnahkan rejim zionis. Tidak terlepas apabila bangunan agensi berita Aljazeera juga turut mengalami hal sama apabila bangunan itu menjadi sasaran penyerangan tentera Israel itu atas dakwaan terdapat tempat persembunyian pejuang Hamas di bangunan tersebut walaupun tanpa bukti nyata.

Namun apa yang kita lihat daripada siri serangan ini, jauh berbeza jika dibandingkan dengan apa yang dimainkan laporan media pro-Israel yang membawa satu naratif bahawa tindakan yang dilakukan oleh Israel itu sebagai suatu langkah untuk mempertahankan diri.

Sebaliknya apa yang kita lihat jauh sekali daripada apa yang dilaporkan mereka kerana tindakan rejim Zionis sudah jelas lagi bersuluh adalah semata-mata ingin memusnahkan pergerakan Hamas dengan menghancurkan bangunan dan menyerang orang awam dengan semborono.

Hal ini berbeza dengan tindakan yang dilakukan oleh pejuang Hamas, apabila ketuanya Abu Ubaidah terlebih dahulu memberi amaran agar rejim zionis keluar daripada kawasan Masjidil Aqsa dan Sheikh Jarrah, malah turut diberikan tempoh masa sebelum penyerangan menggunakan roket dilakukan. Jadi hal ini amat lah ketara dengan apa yang dimainkan oleh media pro-Israel yang ingin menggambarkan Israel sebagai mangsa kekejaman.

Melalui serangan selama 11 hari ini, pejuang Hamas telah mengisytiharkan nama peperangan ini sebagai Ma’rakah Saif al-Quds (Peperangan Pedang al-Quds) sempena memelihara kesucian Masjidil Aqsa yang dicerobohi pada malam 27 Ramadan yang lalu dan usaha rampasan kampung Sheikh Al-Jarrah atas nama undang-undang yang zalim di lingkungan daerah al-Quds.

Apa yang menarik dalam siri peperangan kali ini ialah kita dapat menyaksikan kesedaran yang timbul dalam kalangan masayarakat dunia dan Malaysia khusunya berkaitan isu Palestin semakin mendapat tempat.Tidak hanya umat muslim sahaja, masyarakat majmuk daripada pelbagai bangsa, agama dan negara turut sama bersolidariti bersama untuk kebebasan Palestin.

Laungan free Palestine telah menjadi laungan keramat sepanjang siri penyerangan rejim zionis keatas Gaza telah dilaungkan di kota-kota utama dunia seperti New York, Paris, London, Dhaka, Istanbul, Amsterdam, Melbourne, Tokyo dan banyak lagi demi mengutuk serangan rejim zionis dan meminta agar keadilan dijalankan ke atas rakyat Palestin yang menjadi mangsa kezaliman rejim ini.

Apa yang menariknya, di London sendiri, beberapa orang rabbi Yahudi ortodoks turut serta dalam himpunan aman untuk membantah kezaliman yang dilakukan zionis ini, malah mereka turut melaungkan slogan free Palestine sebagai tanda sokongan mereka terhadap rakyat Palestin.

Tidak terhenti disitu, pemain-pemain bola seperti Mohamad Salah dan juga beberapa selebriti terkenal dunia seperti Bella Hadid dan Mark Ruffalo juga turut sama mengatakan sokongan terhadap rakyat Palestin. Kesedaran bahawa isu yang telah lama berlanjutan ini malah turut diakui oleh mantan presiden Amerika ke-44, Barrack Obama sebagai “isu yang melebihi satu abad” sebenarnya bukanlah isu keagamaan semata-mata, malah lebih dari itu iaitu melibatkan isu kemanusiaan.

Kezaliaman yang dilakukan rejim zionis ini telah lama berlarutan sejak kedatangan ataupun penghijrahan bangsa Yahudi beramai-ramai kebumi Palestin sekitar 1917 selepas Deklarasi Balfour dipersetujui. Kini, dicatatkan seramai 7 juta rakyat Palestin yang terpaksa menjadi pelarian, generasi kedua dan ketiga daripada anak-anak pelarian ini dikatakan tidak pernah menjejakkan kaki mereka ditanah air sendiri. Usaha untuk penghapusan bangsa arab Palestin, kemusnahan rumah-rumah dan pengusiran mereka daripada tanah air sendiri telah menjadikan isu ini tidak berkesudahan sehingga kini.

Di Malaysia pula, kita dapat menyaksikan sokongan yang tidak berbelah bagi daripada rakyat Malaysia untuk sama-sama bersolidariti demi kebebasan Palestin. Walaupun peningkatan kes Covid-19 menjadi penghalang untuk kita mengadakan himpunan di dalam negara, sama ada di kedutaan Amerika dan sebagainya, ia tidak menghalang dari pengzahiran solidariti melalui media perdana mahupun media sosial yang cukup rancak.

Serangan maklumat melalui media sosial yang berupa sebaran berita megenai Palestin, program-program ceramah berbentuk atas talian serta sumbangan sedikit sebanyak telah membantu rakyat Palestin daripada sudut kewangan dan membuka mata dunia tentang keperluan mendapatkan info yang sahih.

Turut terlibat juga pelajar-pelajar Malaysia yang belajar di negara-negara arab apabila mereka dengan pantas mentaerjemahkan berita-berita terkini dari Bahasa Arab ke dalam Bahasa Melayu untuk dijamukan kepada rakyat Malaysia.

Bukan itu sahaja, Malaysia melalui YAB Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, telah bergerak bersama-sama dengan pemimpin daripada negara serantau seperti pemimpin Indonesia, Joko Widodo dan Sultan Brunei, KBDYMM Sultan Haji Hassanal Bokiah Muizzuddin Waddaulah untuk bertindak senada mengecam tindakan yang dilakukan oleh Israel ke atas penduduk Palestin khususnya di Semenanjung Gaza.

Tidak terhenti disitu, di bawah inisiatif yang diambil oleh Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah, YB Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang telah mewujudkan satu platform sumbangan dengan pelancaran kempen Aid4Palestine. Hal ini sedikit sebanyak telah menjadi satu medium untuk rakyat Malaysia sama-sama menyumbang demi pembanggunan semula Gaza setelah keadaan reda, kita sedia maklum bahawa pelbagai kerosakan telah dialami setelah serangan berakhir.

Jadi melalui inisiatif yang memberikan jumlah sumbangan 100 peratus kepada Palestin setidaknya dapat membantu mereka. Di pihak badan bukan kerajaan (NGO) pula pelbagai aktiviti berupa ilmiah dan kutipan sumbangan demi membantu saudara seakidah kita di sana turut dijalankan.

Kesimpulannya, rentetan daripada Ma’rakah Saif al-Quds ini kita dapat menyaksikan kesatuan umat manusia tanpa mengira agama, bangsa dan negara untuk sama-sama menyokong Palestin dan menuntut dunia menghukum kekejaman yang dilakukan oleh rejim zionis yang tidak berhati perut itu.

Perjuangan rakyat Palestin berlandaskan kewajipan menjaga dan mendapatkan kembali tanah air adalah merupakan satu tuntutan yang normal bagi rakyat yang terjajah untuk menuntut kemerdekaan sebagaimana dijamin oleh undang-undang antarabangsa untuk hidup merdeka dan mencorakkan negara mereka yang bermaruah.

Rakyat seluruh dunia kini tidak kira bangsa dan agama, termasuk masyarakat Muslim bersolidariti demi memberi kekuatan semangat terhadap pembebasan Palestin. Benarlah sabdaan baginda Rasulullah SAW yang bermaksud “seorang mukmin terhadap mukmin yang lain adalah seperti satu bangunan yang mana  bahagian yang satu menguatkan bahagian yang lain”. (hadis riwayat al-Bukhari)

Prof. Dr. Mohd Roslan Mohd Nor
Ketua, Jabatan Sejarah dan Tamadun Islam,
Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya.
Presiden PINTAR dan SUA Persatuan Ulama Malaysia.

Mohamad Fikri Mohd Bakri
Exco Dakwah dan Kebajikan,
Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya.
Ahli Lajnah al-Quds, Persatuan Ulama Malaysia. – HARAKAHDAILY 8/6/2021