PAS Perlis anjur Munajat Rakyat 10 Jun

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

KANGAR: Badan Perhubungan PAS Negeri Perlis akan mengadakan Munajat Rakyat pada hari Khamis, 10 Jun ini sebagai usaha mengekang dan memutuskan rantaian pandemik Covid-19 peringkat ahli dan penyokong PAS.

Pesuruhjayanya, Mohd Shukri Ramli berkata, seluruh ahli, penyokong serta rakyat negeri ini adalah dianjurkan untuk bersama menjayakan munajat tersebut.

Advertisement

“Saya mengajak semua ahli dan penyokong serta umat Islam di negeri ini khasnya untuk bersama memohon kepada Allah agar menyelamatkan Malaysia daripada bencana Covid-19 yang semakin mengganas pada ketika ini.

“Didoakan juga buat Tuan Guru Presiden PAS (Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang) yang kini sedang dirawat di Institut Jantung Negra (IJN) agar dikurniakan kesembuhan untuk terus memimpin ummah,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Ujarnya lagi, munajat berkenaan boleh dibuat secara persendirian mahupun secara berjemaah di kediaman masing-masing berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh.

“Bermula dengan puasa sunat (Khamis), para peserta munajat akan mengadakan solat Maghrib, solat sunat hajat dan solat Isyak di kediaman masing-masing.

“Kemudian diikuti dengan bacaan Yasin yang akan dipimpin oleh Dewan Ulamak PAS Perlis secara atas talian,” ujar beliau.

Beliau berharap semoga dengan usaha itu Allah akan menghilangkan Covid-19 di Malaysia seterusnya di dunia ini. – HARAKAHDAILY 8/6/2021