Malas

- Advertisement -

SATU sifat keji dalam diri. Jika dibiar akan menjadi penyakit, penyakit malas. Maksud malas ialah tidak mahu berbuat apa-apa. Orang Kedah sebut segan. Ada sejenis burung, dikenali dengan burung segan. Burung tersebut malas untuk membuat sarang, rumahnya hanya di atas tanah. 

Nabi S.A.W menggesa umat agar sering berdoa dijauhkan dari sifat malas. Jika dibiar dan dilayan sifat ini, merugikan diri. Berbagai aneka malas dalam hidup kita. Malas untuk beribadah, sehingga diabaikan kewajipan. Jika dipaksa, dibuat juga, tapi dalam keadaan malas. Dah solat, tapi malas pula untuk membaca surah dalam solat, buat yang wajib-wajib sahaja. Selesai solat, malas untuk berzikir serta berdoa. 

- Advertisement -

Ibadat lain, tak dibuat juga kerana malas. Ibadah paling mudah, tak perlu buat apa-apa, iaitu puasa. Puasa 6 Syawal pun tak terbuat, mengapa? Dijawabnya, saja, itu pun gambaran malas juga. Tempoh lockdown ada banyak masa. Tetapi tak terisi juga dengan sesuatu yang berguna dan bermanfaat. Rumah bersepah, semak samun di luar rumah, sampah di mana-mana, tanah terbiar luas, tiada apa-apa tanaman. Semuanya dihalang oleh malas.

Dianjurkan satu pertandingan untuk mencari orang yang paling malas. Maka tampillah beberapa peserta untuk mencuba nasib. Peserta pertama menceritakan sifat dirinya, ‘Saya tak akan bekerja dan berusaha sendiri. Jika makanan tidak dihidang di hadapan maka saya tak akan makan, rela lapar dari bekerja’. Peserta kedua, ‘Saya tak akan makan, kecuali disuap ke mulut’. Bila sampai giliran peserta yang ketiga. Diam sahaja tak bercakap apa-apa. Bila ditanya apa kisah kamu? Dijawabnya ‘saya malas nak cerita’.

Banyak sungguh sifat malas dalam diri manusia. Tapi cukuplah dulu, malas dah nak tulis. Di sana sini, ada juga yang rajin. Rajin mencari salah orang lain.

USTAZ AHMAD YAHAYA
Pesuruhjaya PAS Kedah – HARAKAHDAILY 8/6/2021

- Advertisement -