Lawan agenda perangi Agong dan Perlembagaan

- Advertisement -

GERAKAN Pembela Ummah (UMMAH) meneliti dan membaca dua tulisan seorang individu yang bernama Kamaludin Endol yang disebarkan melalui media sosial, khususnya melalui WhatsApp mutakhir ini.

Tulisan beliau yang bertajuk ‘Sultan Nazrin Shah Yang di-Pertuan Agong?’ bertarikh 1 Jun 2021 menyatakan perkara-perkara berikut:

- Advertisement -

(a) Dua orang pengasas Agenda Reset Malaysia iaitu Dato Aziz Chemor dan Dato Dr. Ramalan mencadangkan supaya KBDYMM Tuanku YDPA diberikan cuti rehat selama enam bulan; tugas YDPA akan dijalankan oleh Tuanku Timbalan YDPA sekarang iaitu Baginda Sultan Nazrin Shah; manakala tempat Tuanku Raja Nadzrin Shah akan digantikan oleh Tuanku Sultan Johor sebagai Timbalan YDPA. Ini kerana kedua-dua Sultan Perak dan Sultan Johor ini dilihat gandingan yang mantap pada saat-saat cemas seperti sekarang ini kerana Baginda berdua memiliki keberanian dan ketegasan yang tinggi.

(b) Sehingga sekarang Raja-raja Melayu nampaknya bagaikan kehilangan fungsinya dan Majlis Raja-raja Melayu seolah-olah merelakan ketidakadilan.

Tulisan kedua beliau pula bertajuk ‘Agenda Reset Malaysia: Jangan Halang Kemaraan ARM’ bertarikh 3 Jun 2021 pula menyatakan perkara-perkara berikut:

(a) Ada sebuah gerakan beragenda di Malaysia bernama ‘Agenda Reset Malaysia’ yang diilhamkan pada penghujung tahun yang lalu oleh Datuk Aziz Chemor dan Dato Dr. Ramalan.

(b) Gerakan ini adalah satu gerakan menentang dan melawan suatu sistem atau kerajaan yang sedia berkuasa di bawah satu gagasan agenda yang lengkap.

(c) Gerakan ini mempunyai dana yang jumlahnya bertrilion USD untuk melakukan sebuah kebangkitan yang besar.

(d) Gerakan ini telah bersedia dengan format dan sistem pemerintahan yang akan menamatkan sistem demokrasi.

(e) Sesiapa yang cuba menghalang kemaraan gerakan ini akan binasa kerana mereka pada hakikatnya cuba menghalang kemaraan agenda Allah.

Tulisan-tulisan Kamaludin Endol ini memberikan gambaran bahawa telah berlaku perlanggaran ke atas undang-undang negara, khususnya Seksyen 124(C) Kanun Keseksaan kerana cuba melakukan suatu aktiviti yang memudaratkan demokrasi berparlimen, Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 kerana menyebut apa-apa perkataan menghasut yang boleh mendatangkan kebencian atau penghinaan atau bagi membangkitkan perasaan tidak setia terhadap mana-mana Raja atau Kerajaan, serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian. 

UMMAH minta pihak polis menyiasat perkara di atas kerana dibimbangi ianya terkait dengan agenda ahli politik yang didalangi oleh kuasa asing. UMMAH akan segera membuat laporan polis di seluruh negara bagi menyiasat perkara tersebut.

Perlu ditegaskan Malaysia adalah sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi pilihan raya berparlimen dan Raja Berpelembagaan, dan sebarang perkara dan tindakan yang cuba melanggari perkara tersebut adalah bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan memerangi YDPA.

Kuasa-kuasa dan peranan YDPA sebagaimana yang ada di dalam Perlembagaan Persekutuan telah dilaksanakan sebaiknya oleh Baginda semasa menyelesaikan krisis politik perebutan kuasa yang menyebab Kerajaan PH jatuh, akibat peletakan jawatan oleh Tun Mahathir sebagai Perdana Menteri pada waktu itu, juga Majlis Raja-raja telah bersidang serta berperanan memberi nasihat kepada YDPA untuk membuat keputusan yang terbaik kepada negara demi kestabilan politik dan pentadbiran negara yang terus utuh sehingga ke hari ini.

UMMAH menegaskan sebarang agenda yang menyalahi Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang negara akan ditolak dan ditentang oleh rakyat Malaysia.

MOHD ZAI MUSTAFA
Pengerusi
Gerakan Pembela Ummah (UMMAH)
8 Jun 2021 – HARAKAHDAILY 8/6/2021

- Advertisement -