Kerajaan negeri bantu mangsa kebakaran

- Advertisement -

Oleh KHAIRUL AZLAM MOHAMAD Foto ABBAS DANNY

KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri merakamkan ucapan takziah dan akan membantu mangsa-mangsa kebakaran rumah termasuk ahli keluarga yang meninggal.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar, Ahmad Shah Mohamed berkata, kerajaan negeri dan pihak pejabat ADUN Bandar memandang serius tragedi kebakaran yang melibatkan beberapa buah rumah serta seorang mangsa terkorban.

- Advertisement -

Kata beliau, pihaknya akan mengambil tanggungjawab bagi memastikan keperluan bantuan digerakkan segera.

Menurutnya, Menteri Besar dan kerajaan negeri amat bersedih dan merakamkan ucapan takziah kepada ahli keluarga mangsa terbabit.

“Saya sempat datang dan melihat sendiri tragedi kebakaran ini tetapi tidak dapat berbuat apa-apa kerana api terlalu besar dan cepat merebak.

“Bagi pihak YAB Menteri Besar (Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri) dan barisan kepimpinan kerajaan negeri mengucapkan takziah kepada ahli keluarga yang terlibat.

“Insya-Allah, kita akan mengambil cakna terhadap proses bantuan yang sepatutnya kepada mereka ini,” ujarnya kepada Harakah di tempat kejadian, di Kampung Losong Haji Su, semalam.

Ahmad Shah berkata, pihak Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) akan berhubung dengan keluarga mangsa bagi urusan bantuan segera seperti perubatan dan tempat tinggal sementara.

“Terima kasih kepada pihak Bomba, PDRM, TNB, Jabatan Amal yang pantas membantu. Juga kepada orang ramai terutamanya anak muda yang sama-sama membantu pihak Bomba dalam mengawal keadaan semasa kebakaran tadi,” jelasnya.

Dalam kejadian pada pukul 10.35 pagi semalam, seorang mangsa warga emas, Fatimah Mohamad, 79, yang dikenali Mak Som ditemui rentung dan suaminya, Jusoh Muda, 82, pula cedera melecur pada bahagian kaki dan badan dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu.

Harakah dimaklumkan, Allahyarham Fatimah yang keuzuran untuk berjalan telah terperangkap di dalam rumah mereka yang sedang marak terbakar itu.

Mayat Fatimah yang juga ibu kepada 11 orang anaknya ditemui tertiarap dalam keadaan rentung di bawah rumah pada jam 12.22 tengah hari. – HARAKAHDAILY 8/6/2021

- Advertisement -