Kelantan sumbang RM500,000 naik taraf peralatan hospital

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan negeri menyumbang sebanyak RM500,000 kepada Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) bagi menaik taraf kelengkapan sistem Electrophysiology study Unit Kardiologi.

Menteri Besar Dato’ Bentara Kanan Ustaz Dato’ Ahmad Yakob berkata, dengan adanya sistem itu rawatan jantung khasnya perkhidmatan Electrophysiology dapat diberikan kepada pesakit yang memerlukan.

Katanya rawatan itu dapat diberi dengan lebih cepat dan berkesan tanpa perlu dirujuk ke pusat rawatan luar di Kelantan.

- Advertisement -

“Dengan menaik taraf sistem tersebut diharap akan dapat mengurangkan kadar mortaliti dan morbiditi pesakit jantung,” katanya selepas majlis penyerahan sumbangan berkenaan di Pejabat Menteri Besar, Kompleks Kota Darulnaim hari ini.

Turut hadir Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) Dato’ Dr Zaini Hussin dan Pengarah HRPZ II Dato’ Dr Selasawati Ghazali.

Turut disumbang sebanyak enam penghawa dingin (portable air conditioner) kepada Pejabat Kesihatan Negeri Kelantan bagi kegunaan pasukan bergerak Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) peringkat negeri.

Menteri Besar juga berharap sumbangan itu dapat membantu menambahkan keselesaan petugas barisan hadapan dalam usaha menyegerakan jumlah suntikan vaksin bagi mencapai imuniti berkelompok.

“Program suntikan vaksin secara mobile itu akan bergerak ke kampung dan kawasan tumpuan orang ramai,” katanya.

Sementara itu Dr Selasawati berkata, sumbangan tersebut dapat memperkasa perkhidmatan HRPZ II terhadap pesakit jantung dalam memendekkan masa menunggu terutama ketika negara dilanda Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 sekarang.

Menurutnya perkhidmatan (electrophysiology) di HRPZ II merupakan satu-satunya di Kelantan.

“Sudah pasti sudah pasti sumbangan untuk menaik taraf akan dapat mempercepatkan perawatan. Sekitar 50 hingga 80 pesakit lagi akan dapat manfaat,” katanya sambil merakam penghargaan kepada kerajaan Kelantan. – HARAKAHDAILY 8/6/2021

- Advertisement -