Harga minyak sawit naik, tiga juta rakyat untung

- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

KUALA LUMPUR: Kenaikan harga minyak sawit menguntungkan tiga juta rakyat Malaysia yang bergantung pendapatan kepada industri itu, sekali gus mengeluarkan mereka daripada status kemiskinan.

Kenaikan itu digambarkan seolah memulangkan nilai keringat sebenar pekebun kecil yang telah lama diabaikan walaupun kesan kenaikan dirasai golongan M40 dan T20, kata Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali.

Beliau berkata demikian mengulas isu kenaikan harga minyak sawit masak kebelakangan ini yang dipercayai disebabkan kenaikan harga minyak sawit mentah di peringkat pengeluaran sawit di ladang kelapa sawit.

- Advertisement -

Jelasnya, harga minyak sawit mentah (MSM) di pasaran dunia sekarang ialah sekitar RM4,000 hingga RM4,500 pertan berbanding sebelum ini hanya sekitar RM2,000 pada 2019 dan sebelumnya.

Kesan daripada kenaikan itu, harga buah tandan segar (BTS) di ladang naik sekitar RM1,000 pertan berbanding sebelum ini hanya RM300 pertan yang meletakkan 450,000 pekebun kecil sawit dalam kategori miskin.

Justeru itu, dengan kenaikan harga ini sekarang, iaitu RM1,000 pertan, pekebun kecil sawit bertukar status daripada B40 yang berpendapatan kecil dan miskin kepada berpendapatan baik yang mencukupi untuk sara hidup sekeluarga.

Katanya, ahli keluarga yang bergantung pendapatan kepada pekebun kecil sawit adalah lebih daripada tiga juta rakyat Malaysia.

“Ekoran kenaikan harga minyak sawit mentah berlakulah kenaikan harga pada minyak sawit bertapis atau minyak masak. Harga minyak masak bertapis lebih tinggi sekitar RM5,000 pertan berbanding harga Minyak Sawit Mentah.

“Oleh itu, dengan harga minyak sawit mentah RM4,000 hingga RM4,500, purata kos harga minyak masak di kilang ialah RM4.50 hingga RM5.00 perkg.

“Kalau 5 kg sekitar RM25, belum dikira kos pembungkusan dan lain-lain. Dengan rantaian bekalan menerusi pemborong dan peruncit, sangat munasabah harga Minyak Masak di pasaran sekitar RM30 per 5 kg.

“Sudah lama rakyat M40 dan T20 yang kaya menikmati harga minyak masak dengan harga rendah di atas kudrat dan keringat para pekebun kecil yang berpendapatan kecil.

“Golongan kaya menikmati harga minyak masak sekitar RM20 untuk 5 kg. Kos proses di kilang sekitar RM3 perkg termasuk botol dan pembungkusan.

“Ditambah dengan keuntungan pembekal, pemborong dan peruncit menjadi RM20 untuk 5 kg. Sangat murah, tetapi pekebun kecil di kampung-kampung tidak cukup makan kerana harga sawit yang rendah ditambah dengan kos baja dan lainnya.

“Ramai pekebun kecil terpaksa membiarkan kebun sawit terbiar kerana kos kerja tidak setimpal dengan pendapatan. Tetapi tidak lagi sekarang dengan harga Minyak Sawit Mentah RM4,000-RM4,500 pertan,” katanya.

Mengulas lanjut, jelas Khairuddin, untuk 12 juta rakyat miskin, kerajaan telah menyediakan harga subsidi RM2.50 dengan pek 1 kg meskipun harga modal di kilang telah menjangkau RM5.

Katanya, kerajaan membayar untuk subsidi purata 720,000 tan setahun atau sebanyak 720 juta pek minyak masak 1 kg dikeluarkan.

Jumlah itu kata Khairuddin, bukan hanya cukup untuk 12 juta rakyat B40 malah dengan angka rakyat Malaysia 32 juta, setiap orang boleh menikmati 1.8 kg minyak sebulan dengan harga subsidi.

Sekiranya, keluarga dengan lima orang ahli bererti satu keluarga boleh menikmati purata 9 kg minyak masak bersubsidi sebulan.

Sementara itu ulasnya, minyak masak pek 2 kg dan 5 kg beredar di pasaran sekitar 300,000 tan, manakala minyak masak pek bersubsidi 1 kg beredar di pasaran sekitar 720,000 tan dan 19 juta tan minyak masak dipasarkan di pasaran antarabangsa menerusi eksport.

“Dalam keadaan minyak 1 kg bersubsidi dikeluarkan, berlaku penyelewengan penipuan subsidi di pasaran.

“Mereka mengumpulkan minyak bersubsidi RM2.50 dan dipek semula menjadi minyak pek 5 kg serta dijual dengan harga pasaran dulu RM20 dan sekarang RM30.

“Sangat besar keuntungan daripada penyelewengan ini,” katanya.

Oleh itu, beliau berpendapat sekiranya subsidi diperluaskan kepada minyak masak 5 kg kegunaan M40 dan T20, penyelewengan boleh berlaku lagi dengan sekala lagi besar dan memerlukan penguatkuasaan lebih ketat oleh kerajaan menerusi KPDNHEP.

Tambahnya lagi, kerajaan menikmati hasil cukai yang tinggi dengan kenaikan harga minyak di pasaran dunia dengan 19 juta tan minyak sawit dieksport keluar berbanding 1 juta sahaja kegunaan dalam negara.

Hasil cukai daripada pengeksportan minyak sawit kemudian dipulangkan kepada rakyat menerusi pelbagai cara antaranya Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) sehingga RM1,200 hingga RM1,800 setahun kepada keluarga B40 di samping bantuan-bantuan lain.

Selain itu, kerajaan Sabah juga dilaporkan menikmati hasil cukai jualan hampir RM1 bilion pada tahun 2020 ekoran kenaikan harga minyak sawit.

Untuk lima bulan pertama 2021 pula, kerajaan Sabah dianggarkan mendapat hampir RM500 juta.

“Inilah antara sumber utama kerajaan Sabah sekarang. Begitu juga Sarawak mendapat cukai jualan sawit yang tinggi juga meskipun lebih rendah daripada Sabah.

“Kerajaan Malaysia pula dijangka menikmati levi cukai keuntungan luar biasa untuk 2021 lebih RM1 bilion,” ujarnya.

Dengan bukti itu, hasil cukai daripada kenaikan minyak sawit dipulangkan kepada rakyat dalam pelbagai bentuk yang dapat dirasai oleh semua rakyat.

Bahkan, negeri seperti Sabah dan Sarawak turut menikmati pendapatan tinggi kerana kenaikan harga sawit, jelas beliau. – HARAKAHDAILY 8/6/2021

- Advertisement -