Generasi pencetak tarbiyah

- Advertisement -

SELEPAS menunaikan Solat Hajat yang diarahkan pimpinan kelmarin, hati saya begitu kuat ingin mencoret kenangan bersama pimpinan PAS yang telah tiada. Wajah-wajah seperti almarhum Tuan Guru Ustaz Harun Taib, Ustaz Yahya Othman, Ustaz Abu Bakar Chik, Ustaz Azizan, Ustaz Hassan Shukri malah Tuan Guru Harun Din, Tuan Guru Nik Aziz serta Ustaz Fadzil Nor.

Mereka semua bukan pimpinan biasa dalam PAS. Selain pemimpin politik PAS mereka adalah pencetak kader-kader dakwah yang menggerakkan PAS hari ini. Mereka semua adalah rakan segandingan dan regu Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang paling mantap dalam sejarah kepimpinan PAS.

Mereka semua diizin oleh Allah memimpin PAS di saat gerakan dakwah dan politik ini sedang membina kekuatan. Bukan di saat kemenangan dan kemewahan. Mereka memimpin dengan tarbiah yang serius tanpa disibukkan gelaran dan pujian.

- Advertisement -

Di saat kepimpinan gandingan ini, tarbiyah menjadi keutamaan. Dasar PAS diperteguhkan. Orang yang paling menjiwai perjuangan itu kini adalah Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang menjadi Presiden PAS. Beliau adalah antara gandingan itu yang masih kekal meneruskan agenda perjuangan panjang PAS yang diatur regu mereka.

Melucukan jika ada hingusan celup PAS yang mendakwa Tuan Guru Abdul Hadi Awang telah lari dari landasan pimpinan dulu. Mereka itu sebahagiannya buah yang masak di‘kabait’ dalam PAS. Warnanya menarik seakan masak tetapi manisnya tiada.

Tuan Guru Harun Taib disegani dan digeruni atas ketegasannya. Rakan sepengajian Tuan Guru Abdul Hadi Awang di Madinah dan Mesir ini adalah pertahanan paling teguh bersama Ustaz Abu Bakar Chik menyanggah perosak PAS di era ‘jebon’ berkeliaran di Pejabat Agong dan mendominasi bilik mesyuarat PAS Pusat.

YB Ustaz Razman menceritakan kepada saya dalam perjalanan tadi, dalam mesyuarat PAS Pusat, Ustaz Harun Taib paling tegas menyergah kebiadaban jebon. Dengan watak dan izzah yang ada, golongan perosak ini biasanya terkedu dan kaku.

Ustaz Abu Bakar Chik pula ibarat singa PAS. Beliaulah yang menyanggah kebiadaban perancangan jahat memalukan Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam majlis di Taman Melewar. Mereka menjemput kononnya ‘pakar luar’ yang kini ADUN DAP Perak atas nama muhasabah mengkritik Presiden di hadapan pimpinan dan ahli sendiri. Ustaz Abu Bakar Chik dengan keberanian bangun menyanggah niat jahat dan kebiadaban mereka.

Nama seperti Ustaz Yahya Othman pula memang tidak popular di kalangan pemuja ‘pidato berapi’ namun di kalangan mereka yang terdidik dengan tarbiyah sangat menyanjungi tokoh ini. Pencetak kader dakwah paling istiqamah.

Saya masih ingat dalam Ijtima Tarbawi pertama di Rusila, beliau menggenggam tangan anak muda seorang peserta yang berasak bersalam dengannya di hadapan saya ‘salam renung mata, genggam erat’ begitu antara nasihat yang diselit dalam kekalutan bersalaman. Walaupun tubuhnya kerdil seperti Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz, suaranya yang lembut tetap menggetar jiwa.

Tanpa melakar satu persatu peristiwa, kesemua mereka ini miliki izzah tersendiri. Kata-kata mereka kekal memandu generasi didikan tarbiyah mereka sama ada tanzim di IPT atau markaz di pelosok kampung dan hutan. Arahan mereka ditaati atas Wala’ dan Tsiqah bukan resah dan rasa bersalah.

Pusat tarbiyah dan perkaderan mereka terus menumbuhkan generasi pejuang yang ikhlas membentengi PAS dari tersasar. Nama seperti Institut Berakan, Darul Quran dan Muassah Darul Ulum adalah kilang perkaderan PAS yang mewarisi ketegasan guru-guru mereka. Mungkin tidak semua, namun kebanyakannya kekal istiqamah dan teguh menjiwai tarbiah. Tarbiah yang diperlukan di saat PAS menghadapi ujian kuasa dan kemewahan.

Bertuahnya ahli PAS kini, segala rencah dari generasi pencetak tarbiah istiqamah itu ada pada Tuan Guru Abdul Hadi Awang. Tuan Guru ibarat sedang mengolah segala ramuan itu dan memastikan ia menjadi hidangan istimewa untuk generasi akan datang mengenali keindahan Islam melalui PAS.

Yang jahil dan jahat? Yang mencaci dan fitnah? Tidakkah generasi itu wujud sepanjang zaman? Semulia Rasulullah ada pembenci dan pencaci. Apa dihairan generasi Dajal mula menjelma kini. Anda tak kenal? Mungkin dalam komen di sini nanti akan ada yang memuncul diri. Itulah mereka.

FAIRUZ HAFIIZH OTHMAN
Setiausaha Politik
Pesuruhjaya PAS Perak – HARAKAHDAILY 8/6/2021

- Advertisement -