Darurat Covid-19 untuk elak mudarat lebih besar

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Darurat Covid-19 berperanan untuk melindungi negara daripada mudarat yang lebih besar terutama bagi menjaga kemaslahatan nyawa rakyat.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Kamaruzaman Mohamad berkata, masih ramai yang tidak jelas peranan darurat yang berfungsi di negara ini.

“Antara peranan utama adalah supaya sistem kesihatan dapat dijalankan secara menyeluruh kerana ia membuka lebih banyak peluang yang tidak tersedia di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

- Advertisement -

“Kesannya, prosedur untuk para doktor dipindahkan mengikut keperluan semasa di setiap hospital lebih mudah.

“Malah, peminjaman ubat-ubatan yang diperlukan untuk melawan wabak Covid-19 juga dapat disegerakan,” katanya dan menambah ia sangat memudahkan urusan petugas barisan hadapan melakukan tugas menyelamat.

Menurut Kamaruzaman, sebarang bentuk pilihan raya juga tidak akan dilaksanakan sepanjang tempoh darurat demi melindungi keselamatan serta kesihatan rakyat.

Katanya, jika ia dilakukan dalam tempoh terdekat akan mengundang bencana yang lebih besar iaitu peningkatan mendadak kes harian positif Covid-19 seperti yang berlaku semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah lalu.

“Namun, ia tidak menghalang hak demokrasi di negara kita kerana masih ada kuasa semak dan imbang antara badan eksekutif dengan kuasa rakyat secara tidak langsung.

“Di samping peranan Jawatankuasa Khas Bebas darurat 2021 diperkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku yang dibarisi pakar-pakar dalam segenap bidang termasuklah wakil kerajaan dan pembangkang di dalamnya.

“Sepanjang tempoh darurat diperkenankan, lebih RM340 bilion telah diperuntukkan melalui pelbagai pakej rangsangan ekonomi bagi meneruskan kelangsungan hidup rakyat,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Justeru, beliau menggesa agar budaya politiking dapat dihentikan ketika negara sedang bergelut situasi genting ini dengan tidak mendesak kerajaan melaksanakan Pilihan Raya Umum (PRU) dalam waktu terdekat.

Ujarnya, tindakan sedemikian akan mengeruhkan lagi keadaan serta mengganggu fokus utama semua pihak dalam menangani pandemik Covid-19.

Dalam pada itu, pihaknya turut memuji kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong dalam menangani krisis politik ketika Pakatan Harapan (PH) memerintah.

“Keputusan YDPA itu memberi impak yang besar kerana berjaya menyelamatkan pentadbiran negara daripada terus dirosakkan oleh individu yang hanya mempunyai kepentingan tersendiri,” ujar beliau lagi. – HARAKAHDAILY 8/6/2021

- Advertisement -