Cucuk vaksin elak Covid, patuhlah – TG Haji Lah

- Advertisement -

PADANG TERAP: Pandangan negatif berkenaan vaksin yang ditular secara meluas, tidak menggugat keyakinan beliau terhadap vaksinasi yang diarahkan oleh kerajaan.

Malah beliau berpendapat mematuhi arahan kerajaan untuk jalan kebaikan dan bermanfaat wajar dipatuhi.

- Advertisement -

“Arahan kerajaan minta rakyat cucuk vaksin untuk elak penyakit Covid yang melanda sekarang, kita patuhlah.

“Kerajaan pun sebelum buat keputusan ini tentunya akan mengkaji terlebih dahulu.

“Cara cegah Covid-19 ini dengan cucuk vaksin, jadi kena cucuklah, sakit itu Allah yang bagi. Kalau nak sakit juga terimalah ketentuan Allah,” kata Pengerusi Majlis Guru Pondok Kedah, Tuan Guru Abdullah Lebai Samah.

Beliau yang lebih mesra dengan panggilan Tok Guru Haji Lah, kini sudah pun menjangkau 85 tahun namun masih aktif mengembangkan ilmu di Pondok Bukit Lada, Pokok Sena.

Katanya lagi, tiada menjadi kesalahan untuk menerima vaksin itu kerana tiada larangan di dalam Islam untuk menerima suntikan.

Lagipun sambungnya, pakar kedoktoran dan lain-lain sudah bertindak lebih awal sama ada mengkaji serta memperhalusi bahan-bahan serta kesan imunisasi itu.

“Kita bukan pandai pun. Pakar-pakar kedoktoran dah buat kajian. Kita patuhlah. Lagi pun bukan perkara dilarang Islam pun.

“Bagi saya samalah apabila kita sakit, jumpa doktor. Ada kala doktor bagi ubat sahaja, ada juga kena cucuk,” sambung beliau lagi.

Menurutnya, beliau sendiri sudah menerima suntikan vaksin dos pertama baru-baru ini di Klinik Kesihatan, Naka dan tiada kesan negatif yang dialami sehingga hari ini.

“Adalah pening kepala sikit tapi kalau tak cucuk pun sakit kepala juga,” katanya berseloroh.

Walaupun katanya ada pihak yang meragui kehalalan intipati vaksin itu, Tuan Guru Haji Lah berkata, ubat-ubatan yang lazimi diambil pun tidak tahu sejauh mana tahap kebersihan dan kehalalannya.

Sewajarnya perkara tersebut tidak perlu ditimbulkan lagi kerana para ulama sudah membuat keputusan vaksinasi itu boleh diambil.

“Negara kita ada persatuan ulama dan perkara itu sudah pun diputuskan oleh mereka. Kalau tak boleh tentu mereka kata tak boleh.

“Lagi pun kita semua kena fahamlah, cucuk ini untuk kebaikan kesihatan bukan tujuan mudarat. Ia juga sebagai langkah kawalan. Mudah-mudahan dengan cucuk vaksin ini, Allah bagi kita sihat,” ulasnya.

Selain itu, Pengerusi Majlis Guru Pondok Kedah itu juga menasihatkan orang ramai agar amalkan membaca Al-Quran dan berselawat kerana kedua-dua amalan itu dapat mencegah seseorang itu dari penyakit.

“Alhamdulillah setakat ini di pondok saya ini (Bukit Bukit Lada) belum ada lagi kes Covid. Tiap-tiap pagi mereka di sini mengamalkan membaca Al-Quran.

“Al-Quran ini penyembuh dan pelindung segala penyakit. Kena rajin baca, paling kurang 100 ayat setiap hari.

“Di samping berdoa kepada Allah dan ikhtiar dengan cara yang diarahkan oleh kerajaan,” nasihatnya.

Tambahnya lagi, zaman dahulu pun penyakit dirawat dengan cara tradisional melalui air akar kayu dan lain-lain.

Malah dengan cara itu, ujarnya banyak penyakit sembuh tetapi sekarang perkara itu sudah diamalkan lagi. – HARAKAHDAILY 8/6/2021

- Advertisement -