Bersalah langgar SOP aktiviti agama denda RM5,000, penjara

KOTA BHARU: Sultan Muhammad V berkenan untuk mengenakan tindakan penguatkuasaan terhadap mana-mana individu yang melakukan kesalahan di bawah Seksyen 121 Enakmen Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) 1994.

Advertisement

Keputusan itu dimaklumkan oleh Yang Dipertua Maik, Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz susulan masih wujud jemaah masjid dan surau yang enggan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) ketika pandemik Covid-19.

“Ini berkaitan dengan arahan aktiviti keagamaan di masjid, surau dan musalla, lebih mendukacitakan lagi apabila wujud kluster baharu dan penambahan kes sedia ada Covid-19 akibat ketidakpatuhan SOP yang dikeluarkan kerajaan.

“Justeru, pihak kami amat mengharapkan kerjasama daripada semua pihak terutama umat Islam untuk mematuhi ketetapan-ketetapan yang telah dikeluarkan dari semasa ke semasa,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Tengku Temenggong Kelantan itu menegaskan penguatkuasaan peraturan perlu diperkuatkuasakan lagi ekoran masih berlaku perlanggaran terhadap pelaksanaan SOP yang telah dikeluarkan oleh kerajaan dan Maik sebelum ini.

Beliau berkata lagi, individu yang disabitkan kesalahan terbabit akan dikenakan denda yang tidak melebihi RM5,000, dikenakan hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

Sultan Kelantan juga sebelum ini sangat berdukacita dengan gelagat ramai rakyat negeri ini yang masih memandang mudah terhadap pelaksanaan SOP yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi meyekat penularan Covid-19.

Baginda juga melarang sebarang kuliah agama dan ceramah untuk mengaburi mata rakyat serta bertentangan dengan hasrat kerajaan untuk melaksanakan Program Imunisasi Covid-19 bagi menyekat penularan wabak itu. – HARAKAHDAILY 8/6/2021