Warga emas rentung, sempat telefon anak minta tolong

Foto daripada media sosial.
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: “Mak sempat telefon dan menjerit meminta tolong beberapa kali sebelum ditemukan rentung dalam kebakaran.”

Demikian kata Zailah Jusoh, 47, susulan kejadian kebakaran sebuah rumah di Kampung Losong Haji Su di sini, pagi ini yang mengorbankan ibunya Fatimah Mohd, 79, dan mencederakan bapanya Jusoh Muda, 83.

- Advertisement -

Beliau yang merupakan anak kelapan daripada 11 adik-beradik berkata panggilan daripada ibunya itu diterima sekitar 10.30 pagi dan ketika itu beliau menyangka ayahnya sedang mengalami masalah.

“Masa mak telefon minta tolong, saya tanya kenapa…ayah jatuh ke, tetapi tidak dijawab. Saya kemudian terus bergegas ke rumah mak tetapi ketika itu saya lihat bomba sedang berusaha memadangkan api.

“Ayah ada di depan rumah dengan keadaan kakinya melecur,” katanya yang tinggal di Kampung Kubang Tangga di sini dan mengambil masa kira-kira 10 minit untuk sampai ke tempat kejadian.

Zailah yang ditemui pemberita berkata ibunya mengalami masalah sakit tulang belakang sejak sembilan tahun lalu dan terpaksa menggunakan kerusi roda untuk bergerak, sehingga menyukarkan mangsa untuk menyelamatkan diri.

Beliau yang sebak ketika ditemu bual sempat menyatakan bahawa kali terakhir menemui ibunya ialah pada Sabtu lepas dan mangsa sering menghubunginya untuk membeli barang keperluan dapur.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu Md Hilman Abd Rashid berkata mayat mangsa yang rentung ditemukan hanya selepas kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya dan mangsa didapati berada di atas tanah.

“Mangsa yang uzur tidak dapat menyelamatkan diri ketika kejadian dan dipercayai telah terjatuh apabila rumah kayu tersebut runtuh ketika kebakaran,” katanya.

Md Hilman berkata pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada pukul 10.39 pagi dan seramai 35 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Kota serta Kuala Terengganu dikejarkan ke lokasi kejadian. – BERNAMA

- Advertisement -