UMMAH ajak rakyat solidariti pertahan Institusi Raja

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) bersolidariti bersama Yang di-Pertuan Agong sempena Hari Ulang Tahun Keputeraan baginda hari ini.

Pengerusi UMMAH Mohd Zai Mustafa berkata, pihaknya mengajak seluruh rakyat jelata menumpahkan taat setia tanpa berbelah bagi, bersatu padu di bawah lembayung kerajaan baginda menerajui negara.

Lebih-lebih lagi katanya ketika negara sedang berdepan dengan usaha gigih kerajaan bagi memutuskan rantaian virus Covid-19.

- Advertisement -

Kata beliau kesejahteraan dan keselamatan rakyat adalah keprihatinan baginda yang sentiasa diutamakan.

“Walaupun ada pihak-pihak yang cuba menganggu gugat institusi ini, dengan melakukan perbuatan penderhakaan kepada baginda seperti yang dilakukan Iswardy Morni dan rakan-rakan sekutunya.

“Begitu juga cubaan meratifikasikan ICERD dan Statut Rom semasa Kerajaan Pakatan Harapan yang ditentang hebat melalui Himpunan Sejuta Ummah di Dataran Merdeka pada 8 Disember 2019,” katanya pada satu kenyataan hari ini.

Sambil melafaz Daulat Tuanku dan mohon sembah takzim Mohd Zai berkata, Ummah mengajak rakyat di seluruh negara bersatu padu dan bersolidariti mempertahankan tonggak dan pancang kenegaraan yang terpahat utuh dalam Perlembagaan Persekutuan.

Menurutnya Ummah tetap mempertahankan institusi terbabit daripada sebarang anasir jahat yang menjadi gunting dalam lipatan, pembelot kepada negara bagi menghapuskan Institusi ini.

“Dakyah mereka mesti ditentang habis-habisan dan dihapuskan. Patik mewakili pimpinan Ummah merafak Sembah Takzim sempena Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al- Mustafa Billah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al- Musta’in Billah Shah.

“Semoga Allah memberi petunjuk, hidayah dan segala kebesaran serta kemuliaan kepada baginda bagi memimpin negara dan ummah,” ujarnya.

Baru-baru ini Pengerusi Pro-Keadilan Sarawak Iswardy Morni dilapor mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan dan menghina Yang di-Pertuan Agong.

Berikutan itu pelbagai tampil membuat laporan polis sehingga lelaki terbabit dihadap ke mahkamah atas pertuduhan menghasut dan menghina yang dikeluarkan di laman sosial Facebook dipercayai miliknya.

Malah sebelum ini terutamanya di era pentadbiran kerajaan PH muncul banyak kenyataan di laman sosial yang mempersendakan institusi Raja-raja Melayu, agama Islam dan orang Melayu. – HARAKAHDAILY 7/6/2021

- Advertisement -