Sabah agih 10,000 laptop bantu pelajar kurang mampu

- Advertisement -

KOTA KINABALU: Kerajaan Perikatan Nasional (PN) Sabah menyediakan peruntukan RM15 juta bagi mengagihkan 10,000 komputer riba kepada pelajar yang tidak berkemampuan.

Pengagihan tersebut mengambil masa selama kira-kira tiga bulan sehingga Oktober depan.

Ketua Menteri, Dato’ Seri Hajiji Noor berkata pemberian komputer riba itu membabitkan pelajar yang akan menduduki peperiksaan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2021.

- Advertisement -

Katanya, sumbangan tersebut menerusi Bantuan Ihsan Komputer (BAIK) kepada pelajar Tngkatan 5 dan 6, bermula 19 Julai hingga 18 Oktober depan.

“Langkah itu sebagai usaha untuk membantu pelajar yang tidak berkemampuan dan mengelakkan mereka tercicir dalam pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR),” katanya di sini semalam.

Menurut laman Suara Sabah pengagihan komputer riba nenerusi BAIK bagi fasa 1 membabitkan 9,842 pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) dan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK).

Selain itu turut juga melibatkan 158 pelajar dari Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN).

Hajiji juga berkata, jemaah menteri bersetuju dibentuk jawatankuasa yang dipengerusikan bersama Menteri Tugas-Tugas Khas dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi untuk mencari kaedah membantu pelajar yang tidak berkemampuan supaya tidak tercicir PdPR.

Kementerian Tugas-Tugas Khas bertanggungjawab menyediakan senarai pelajar yang terpilih mengikut kriteria ditetapkan dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Sabah.

Manakala Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi mengenal pasti serta menentukan komputer riba yang akan diagih kepada pelajar yang layak.

Tumpuan diberi kepada pelajar Tingkatan 5 dan 6, yang akan mengambil peperiksaan yang dijangka diadakan pada Mac tahun hadapan.

Pemberian komputer riba fasa 1 membabitkan ibu bapa atau penjaga pelajar yang termasuk dalam kategori e-kasih miskin tegar.

Kata Ketua Menteri juga komputer riba daripada pelbagai jenama termasuk ACER, Lenovo dan DELL itu boleh digunakan sehingga melanjutkan pelajar terbabit pengajian ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT).

Sebelum ini kerajaan negeri memaklumkan akan berusaha menyediakan gajet kepada pelajar yang kurang berkemampuan berikutan pelaksanaan PdPD ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat penularan pandemik Covid-19. – HARAKAHDAILY 7/6/2021

- Advertisement -