Rakyat gigit jari andai PH masih tadbir negara

- Advertisement -

Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL

KOTA BHARU: Rakyat negara ini diyakin berdepan dengan situasi sukar sekiranya Pakatan Harapan (PH) masih lagi menerajui negara ketika penularan pandemik Covid-19 seperti sekarang.

Ia dapat dibuktikan apabila kerajaan PH sebelum ini kerap mengeluarkan kenyataan kerajaan tidak ada duit dan negara berdepan dengan bankrap.

Ketua Penerangan PAS Kedah Ustaz Mohd Azam Abdul Samat berkata, tentunya rakyat negara ini masih lagi ingat kerajaan PH sering menyebut negara bangkrap dan duit tiada.

- Advertisement -

“Cuba bayangkan dengan sentimen kerajaan bankrap yang sering disebut pemimpin PH, bagaimana hendak membantu rakyat dalam situasi pandemik yang berlaku sekarang.

“Kita tidak boleh gambarkan bagaimana rakyat mahu mengharungi cabaran pandemik yang berlaku dengan dakyah kerajaan tiada duit sering diulang pemimpin PH ketika itu.

“Sebaliknya sekarang kerajaan Perikatan Nasional (PN) berupaya membelanjakan berbilion ringgit untuk membantu rakyat sejak tahun lalu,” katanya pada rancangan bicarawara Kelantankini anjuran Urusetia Belia dan Sukan (U-Bes) semalam.

Program itu disiar secara langsung melalui facebook U-Bes mengupas tajuk ‘Kerajaan Gagal’ yang turut menampil golongan belia iaitu Siti Zulaiqa, Sobran Jamil dan Hashim Muhammad.

Baru-baru ini tular di media sosial perkataan ‘Kerajaan gagal’ yang dipercayai didalangi pembangkang. Malah sepanduk ‘kerajaan gagal’ juga dipasang di beberapa lokasi di Kelantan termasuk di Machang.

Berikutan itu Bersatu Machang membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan dilakukan terhadap dalang yang memasang sepanduk tersebut.

Mohd Azam yang juga Adun Sungai Limau istilah ‘kerajaan gagal’ sebenarnya lebih dekat dengan kerajaan PH sehingga kerajaan itu runtuh selepas 22 bulan mentadbir negara.

“Cuba bayangkan jika negara terus diperintah PH dalam suasana seperti sekarang tentunya rakyat akan mengigit jari kerana kerajaan sejak awal lagi memberitahu tidak ada duit.

“Lagi pun situasi sekarang belum pernah dihadapi kerajaan PH mahu pun Barisan Nasional (BN) berdepan dengan wabak yang melanda seluruh dunia.

“Bukan sahaja mengugat keselamatan dan kehidupan rakyat, malah turut mengancam pembangunan ekonomi negara,” ujarnya.

Menurutnya juga ketika berdepan dengan kesukaran itu kerajaan PN masih mampu mengurus negara dengan baik demi menjaga keselamatan dan melindungi rakyat. – HARAKAHDAILY 7/6/2021

- Advertisement -