Perabot: Lebih banyak peluang kerja kepada rakyat tempatan

PUTRAJAYA: Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) melalui Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Majlis Perabot Malaysia (MFC) bagi pelaksanaan Program Skim Latihan Agrikomoditi Mahir (SLAM) Sektor Perkayuan yang bertujuan untuk memperkasakan pembangunan modal insan sektor perkayuan negara.

Menterinya, Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, industri agrikomoditi khususnya operasi kilang sektor perabot banyak bergantung kepada pekerja asing.

Advertisement

Menurutnya, sektor itu berdepan dengan cabaran yang serius untuk mendapatkan tenaga kerja sejak dunia dilanda pandemik Covid-19.

Justeru, katanya kerajaan telah membuat keputusan untuk memberikan lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.

“Usaha ini juga dapat mengurangkan kebergantungan sektor perabot terhadap pekerja asing,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Tambahnya, SLAM dilaksanakan secara usahasama antara MTIB dan MFC iaitu melalui program latihan kemahiran yang menfokuskan kepada industri di lapangan.

“Jalinan kerjasama strategik antara kedua-dua entiti ini dilihat sebagai platform terbaik untuk membantu mengatasi isu kekurangan tenaga kerja dan kebergantungan kepada pekerja asing dalam sektor ini.

“Sasaran program ini ialah bagi melahirkan tenaga kerja dalam kalangan belia tempatan yang berkemahiran menerusi modul yang dibangunkan secara rekaan khusus mengikut keperluan pihak industry,” ujarnya.

Beliau berkata, bermula tahun 2021, seramai 500 belia tempatan yang berkemahiran akan dilahirkan menjelang tahun 2023 dan sejumlah RM750,000 akan diperuntukkan bagi keseluruhan program itu.

Menurutnya lagi, modul latihan itu dilaksanakan bagi tempoh tiga bulan yang melibatkan 30 peratus latihan secara teori dan 70 peratus latihan secara On Job Training (OJT) di kilang-kilang.

Jelasnya, pelatih disediakan insentif latihan meliputi makan minum, penginapan, pengangkutan dan insuran secara percuma termasuk elaun bernilai RM500 sebulan.

“Program SLAM Sektor Perkayuan ini diharap mampu menarik minat golongan belia dan tenaga kerja tempatan yang berkemahiran di seluruh negara untuk bekerja dalam sektor perkayuan,” katanya.

Tambahnya, manfaat kerjasama di antara MTIB dan MFC ialah dari segi pembangunan modal insan tempatan berkemahiran dalam industry perabot.

Beliau berkata, MTIB melalui Pusat Pembangunan Kemahiran Industri Kayu (WISDEC) juga mempunyai kemudahan yang lengkap bertaraf Pusat Kecemerlangan (CoE) untuk memberi latihan dalam bidang perkayuan dan pembuatan perabot.

Katanya lagi, pelbagai latihan kemahiran berasaskan kayu dirangka dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) untuk memperkasakan pembangunan modal insan yang sekali gus menyokong pertumbuhan sektor industri perkayuan di Malaysia.

Menurutnya, kementerian melalui MTIB akan terus giat melaksanakan pelbagai program latihan kemahiran dan pembangunan modal insan bagi membantu menangani isu kekurangan tenaga kerja industri perkayuan, sekali gus menyediakan peluang pekerjaan baru kepada belia-belia tempatan. – HARAKAHDAILY 7/6/2021