PAS rakam ucapan tahniah kepada Yang di-Pertuan Agong

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: PAS turut merakam ucapan merafak sembah setinggi-tinggi tahniah Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah sempena ulangtahun hari keputeraan baginda.

- Advertisement -

Ketua Penerangan PAS Pusat, Kamaruzaman Mohamad berharap tuanku dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj serta semua putera, puteri dan seluruh kerabat sentiasa berada dalam rahmat-Nya.

“Dipanjatkan doa kepada Allah SWT semoga KDYMM Tuanku diberi kesejahteraan, dilanjutkan usia serta sentiasa dalam keadaan sihat wal afiat untuk terus mentadbir dan bersemayam di atas singgah sana takhta pemerintahan,” katanya pada kenyataan di sini hari ini.

Sempena sambutan ulangtahun Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong hari ini segala acara ditangguh berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 di seluruh negara sekarang.

Pada kenyataan sebelum ini Pengelola Bijaya Diraja, Dato’ Indera Ahmad Fadil Shamsuddin memberitahu keputusan itu dibuat atas titah perkenan baginda setelah mengambil kira faktor keselamatan dan kesihatan umum untuk melindungi nyawa rakyat.

Menurutnya kesemua acara ditangguhkan ke satu tarikh yang akan diumumkan kelak.

Kenyataan itu juga menjelaskan 7 Jun tetap diisytiharkan sebagai hari kelepasan am atau cuti umum sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong.

Penangguhan itu merupakan kali kedua semua acara sempena sambutan ulang tahun Hari Keputeraan rasmi baginda berikutan penularan wabak Covid-19. – HARAKAHDAILY 7/6/2021

- Advertisement -