Kompleks PAS Kedah dan Ustaz Azizan berpisah tiada

- Advertisement -

‘USTAZ, banyak dah dewan yang diberi nama dewan Ustaz Fadhil Nor’ respons ahli Badan Perhubungan ketika Almarhum Ustaz Azizan cadangkan nama dewan Kompleks PAS Kedah. ‘Tak pa aih banyak pun, macam jalan sehala juga, kot dalam pekan nu, merata jalan sehala, orang tak pertikai pun’ jawab Ustaz Azizan. Jawapan itu mengundang ketawa dan akhirnya sebulat suara ahli mesyuarat bersetuju dengan cadangan tersebut. Kekallah nama Almarhum Dato’ Fadhil Nor sebagai nama dewan utama kompleks PAS Kedah.

Dewan utama kompleks adalah antara bangunan awal yang dibina di atas tapak Kompleks PAS Kedah sekarang. Pembinaan bermula pada tahun 2005 sebagai persiapan untuk Muktamar Agung PAS kali ke-52. Tempoh menyiapkan dewan tersebut mengambil masa lingkungan 6 bulan lebih sahaja. Ketika Muktamar berlangsung Ustaz Azizan tak boleh berucap apa-apa kerana suaranya sudah dihabiskan untuk memastikan Dewan Muktamar siap.

- Advertisement -

Itulah Ustaz Azizan. Tekadnya seteguh Gunung Jerai. Fokusnya luar biasa. Hasil yang dicapai juga amat mengkagumkan. Cara yang sama Ustaz Azizan siapkan pembinaan kampus induk KUIN (kini UniSHAMS) di Kuala Ketil Baling. Demikian juga ketegasannya sewaktu memindahkan pentadbiran, pensyarah serta pelajar ke kampus baru KUIN di Kuala Ketil.

Kompleks PAS Kedah hari ini adalah hasil pandangan jauh dan kuatnya tekad Ustaz Azizan. Keinginannya untuk memindahkan pusat pentadbiran PAS dari Jalan Kota Alor Setar ke Kota Sarang Semut diketahui umum. Berbagai hujah serta alasan munasabah diberikan beliau. Kebiasaannya diterima baik oleh Ahli Badan Perhubungan sehingga menjadi satu keputusan yang didukung bersama.

Tidak dinafikan, Bangunan PAS Jalan Kota Alor Setar lebih 30 tahun menabur jasa. Terlalu banyak kenangan indah yang diingati oleh pimpinan, pegawai, kakitangan pejabat, ahli PAS serta para pengunjung. Di situlah berbagai keputusan besar dibuat melalui mesyuarat yang diadakan. Di situ jugalah berbagai aktiviti dibuat. Kuliah ilmu yang disampaikan oleh Ustaz Fadhil Nor, Ustaz Abu Bakar Palastin, Ustaz Ahmad Yusuf, Ustaz Suhaimi Ahmad saban minggu mengundang kehadiran yang ramai. Murid yang belajar sanggup duduk di atas tangga apabila dewan sudah penuh.

Namun, kepesatan pembangunan Alor Setar, kesibukan lalu lintas, sukarnya untuk mendapat tapak parking amat dirasai. Banyak kenangan disimpan mengenai masalah parking. Berpusing-pusing mencari tapak kosong, berjalan jauh, bimbang keselamatan kereta dan berbagai masalah lagi. Ada juga pimpinan yang surat saman parking hampir penuh laci kereta. Tak kurang juga pengunjung yang meletakkan surat saman siap-siap di cermin ketika meletakkan kereta. Kehilangan motosikal juga hampir menjadi lumrah. Kebanyakan staf pejabat melalui pengalaman ini. Ada pimpinan hadir mesyuarat selepas Maghrib, turun ke bawah selepas Isyak, motor sudah hilang dicuri orang.

Di samping mengelak kesesakan, Ustaz Azizan juga mahu meletakkan Kompleks PAS di kedudukan yang lebih strategik. Di tengah-tengah Negeri Kedah untuk memudahkan ahli PAS dan orang ramai hadir. Sebelum ini, kebanyakan program yang melibatkan orang ramai akan di adakan di Muassasah Darul Ulum. Kedudukannya agak ke hujung Pokok Sena, menghampiri kawasan Padang Terap.

Ustaz Azizan juga mahu melihat Kompleks PAS bukan sekadar bangunan pentadbiran. Tetapi dipelbagaikan dengan pusat perniagaan, pendidikan, kuliah pengajian, rumah anak yatim dan sebagainya. Juga mahu diwujudkan pusat pengajian warga emas dengan pondok-pondok berbentuk resort yang teratur. Bagi merealisasi cita-cita tersebut, Almarhum Ustaz memohon kepada mesyuarat Badan Perhubungan untuk membeli sebahagian kecil tanah Kompleks untuk dijadikan tapak rumah beliau. Mesyuarat meluluskan pembelian tersebut. Kata Ustaz ‘nanti aku dah tua, bolehlah tengok juga apa program yang hempa buat dari rumah aku’. Walau hajat tersebut tidak dicapai, namun sebagian besar hajat Almarhum tertunai juga.

Paling menarik, Ustaz Azizan mahu melihat PAS Kedah mempunyai mercu tanda yang baru. Sesuai dengan perkembangan zaman, menempati kehendak generasi baru. Jika Almarhum Datuk Abu Bakar Umar berjasa menyiapkan Bangunan PAS jalan Kota Alor bersama saf pimpinan ketika itu dapat dimanfaat puluhan tahun, demikianlah Ustaz Azizan mahu mengajak semua kita berkorban untuk menyiapkan mercu tanda baru PAS Kedah ini. Ia akan dimanfaatkan generasi hari ini dan akan datang

Sesungguhnya nama Ustaz Azizan tidak dapat dipisahkan dari Kompleks PAS Kedah. Perhatian, fikiran, kasih sayang, kesungguhan ditumpahkan sepenuh hati. Tekad Ustaz Azizan didukung bersama oleh pimpinan serta ahli PAS Kedah. Al-Fatihah – khas untuk Almarhum Ustaz Azizan.

USTAZ AHMAD YAHAYA
Pesuruhjaya PAS Kedah – HARAKAHDAILY 7/6/2021

- Advertisement -