Duit PAS dalam poket ahli

- Advertisement -

‘BILA nak siap lift kompleks kita ini?’ soal Pak Chup (Dato Yusuf Husin) dalam mesyuarat Badan Perhubungan sebelum Lockdown 3.0. ‘Dijangka bulan Mei ini dah boleh guna Pak Chup’ jawab Ustaz Musaddak sebagai Setiausaha Jawatankuasa Kompleks. ‘Haa tak pa, tak lambat dah. Bukan apa, kut lambat sangat… nanti bila lift ada, kami pula yang tak dak… Maklum la orang tua-tua ini’.

Dalam satu peristiwa lain, ada VIP dari Kuala Lumpur ingin berkunjung ke Kompleks. Lokasi sudah diberi kepada beliau. Tetapi bila sampai di lokasi yang ditunjuk Global Positioning System (GPS), beliau teruskan lagi perjalanan dari Alor Setar hingga sampai ke Kota Sarang Semut. Bila ditanya, mengapa tak berhenti di kompleks. Lantas dijawab, ‘Saya tak jangka pejabat PAS negeri di bangunan yang belum siap, saya terus ke depan lagi kalau-kalau ada bangunan yang lain’.

- Advertisement -

Beginilah perjuangan PAS. Amilinnya tidak kisah untuk menjalankan kerja pentadbiran dan melaksanakan pelbagai program di bangunan yang belum siap. Memang, pelan asal bangunan ialah 6 tingkat, namun yang mampu disiap hanya dua tingkat, maka diguna dahulu yang dua tingkat tersebut. Apatah lagi kemudahan lain seperti lift, bukan menjadi keutamaan kerana kemampuan kewangan yang terhad.

Dewan utama Kompleks itu sendiri, walaupun jika dilihat dari jauh seperti kilang padi sahaja, tetapi telah digunakan dari bulan Jun 2006 untuk Muktamar Tahunan PAS kali ke-52 sehingga tahun 2016. Di situlah beroperasinya pejabat Badan Perhubungan, dewan-dewan negeri dan bilik mesyuarat selama 10 tahun.

Proses untuk menambun tanah kompleks seluas 11.5 relung itu juga mengambil masa bertahun-tahun. Sejak dibeli pada awal tahun 2000 sehingga Ustaz Azizan menjadi Menteri Besar pada tahun 2008, kerja-kerja menambun tanah masih belum selesai. Hampir setiap kali Ustaz Azizan melangkah masuk ke bilik mesyuarat Badan Perhubungan, beliau akan berhenti dahulu dan melihat keluar melalui tingkap untuk meninjau kerja-kerja menambun tanah yang sedang berjalan.

Kerja-kerja cerucuk bangunan kompleks utama dimulakan pada tahun 2014 selepas kematian Ustaz Azizan. Bangunan 2 tingkat Kompleks pula disiapkan sebelum Muktamar Agung PAS kali ke 63 tahun 2017. Cepat atau lambat pembangunan terletak kepada sumbangan yang diterima.

Jelasnya, dana pembangunan kompleks benar-benar bergantung kepada sumbangan ahli serta penyokong PAS. Di peringkat awal, untuk membayar harga tanah yang dibeli, dilancar skim jualan tanah wakaf perkaki dengan harga RM10. Apabila sampai masa untuk didirikan dewan, dilancar pula skim jualan wakaf bangunan dengan harga RM100 sekaki. Namun dana masih tidak mencukupi. Lalu dicari pula individu-individu yang berkemampuan untuk membuat pinjaman. Sama sahaja zaman Dato Bakar Umar dengan zaman Ustaz Azizan, menggunakan kaedah pinjaman, cuma bezanya tidak dibuat pinjam dengan bank, tetapi pinjaman dengan individu. Tahun 2006 Dewan Muktamar disiapkan dengan pinjaman individu lebih dari setengah juta ringgit.

Sebenarnya penggerak utama jualan skim tanah wakaf, jualan wakaf bangunan serta pinjaman individu adalah PAS Kawasan. Yang Dipertua beserta AJK kawasanlah yang menjadi tonggak utama untuk mendapatkan dana dari ahli.

Ahli-ahli di cawangan pula terus menyumbang tanpa jemu. Almarhum Ustaz Fadhil Nor pernah menyebut di dalam satu ceramahnya, bahawa ‘Para dermawan akan terus menginfaqkan harta kerana iman. Bukan nanti kaya raya, tetapi yakin apa yang diberi akan menjadi ganjaran pahala jihad yang berlipat kali ganda di sisi Allah’.

Inilah rahsia pemurahnya ahli PAS. Bukti terdekat, bila dilancar Kutipan Derma Jihad untuk Palestin, dalam tempoh 2 minggu, lebih dari RM 2 juta berjaya dikumpul dari negeri Kedah sahaja. Sekarang Tabung Bencana COVID-19 pula sedang digerakkan. Tanpa merungut dan tanpa jemu sumbangan tetap dihulurkan dengan ikhlas.

Andai ada yang bertanya, bilakah pembangunan Kompleks PAS Kedah akan siap sepenuhnya? Tiada jawapan pasti dapat diberi. Apa yang pasti, selagi iman di dada ahli, selagi itulah ahli akan terus memberi, kerana duit PAS ada di dalam poket setiap ahli.

USTAZ AHMAD YAHAYA
Pesuruhjaya PAS Kedah – HARAKAHDAILY 7/6/2021

- Advertisement -