Covid: Malaysia catat peningkatan kes sporadik, kematian

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Malaysia kini berhadapan dengan trend peningkatan mendadak kes baharu Covid-19 dan kes kematian akibat pandemik itu terutama selepas 1 April tahun ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata  keadaan ini  amat membimbangkan kerana majoriti kes baharu dan kematian Covid-19 adalah membabitkan kes sporadik, iaitu kes yang dikesan dalam komuniti yang tidak dapat dikaitkan dengan mana-mana kes atau kluster sedia ada.

- Advertisement -

“Kementerian Kesihatan (KKM) ingin menyeru masyarakat untuk mengambil serius situasi ini yang mana penularan Covid-19 adalah di dalam komuniti termasuklah tempat beli-belah, tempat kerja, dan sebagainya.

“Masyarakat perlu faham bahawa sesiapa sahaja boleh dijangkiti Covid-19 tidak kira di mana mereka berada. Akibatnya, kita dapat melihat peningkatan kes-kes sporadik dan kematian akibat kes-kes sporadik ini di dalam komuniti,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata berdasarkan analisis, trend kes sporadik kekal tinggi pada minggu epidemiologi ke-22 iaitu sehingga 5 Jun apabila mencatatkan 52,040 kes baharu dengan 84.3 peratus daripadanya adalah kes sporadik.

Ia menunjukkan peningkatan ketara berbanding 8,968 kes baharu dengan 52 peratus kes sporadik daripadanya pada minggu epidemiologi ke-13 atau sehingga 3 April.

Selain itu, beliau berkata kumulatif kes kematian COVID-19 pula meningkat dari minggu ke minggu, iaitu minggu epidemiologi ke-22 merekodkan 641 kes kematian dengan 559 kes sporadik berbanding 35 kematian termasuk 26 kes sporadik pada minggu epidemiologi ke-13 iaitu sehingga 3 April.

“Antara satu faktor menyumbang kepada situasi tersebut adalah berikutan kemunculan varian-varian baharu dalam komuniti dengan kadar kebolehjangkitan dan kematian yang lebih tinggi, selain penularan Covid-19 secara lebih meluas di dalam komuniti berbanding minggu epidemiologi sebelum,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata masyarakat perlu terus konsisten mematuhi prosedur operasi standard (SOP) serta saranan kerajaan untuk kekal duduk di rumah dan hanya keluar apabila perlu.

Beliau berkata orang ramai digalakkan memakai pelitup muka berganda terutama di tempat awam yang sesak dan kurang pengudaraan selain dinasihatkan memakai pelindung muka dan pelitup muka berganda di kawasan awam berisiko tinggi seperti hospital dan klinik. – BERNAMA

- Advertisement -