9,350 kg minyak masak cuba diseludup ke Thailand

FOTO: Ihsan KPDNHEP
- Advertisement -

Oleh SALMAH MAT HUSAIN

PASIR MAS: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan merampas 9,350 kilogram minyak masak bernilai RM23,375 yang dipercayai cuba diseludup ke Thailand melalui jalan sungai di sepanjang Sungai Golok.

- Advertisement -

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Negeri KPDNHEP Kelantan, Azanizam Affendi Juri berkata, susulan rampasan itu seorang lelaki berusia 50-an turut ditahan hasil serbuan di Kampung Rogayah di sini, semalam.

Menurutnya, dalam operasi bersama Pasukan Polis Marin Wilayah Tiga, Tumpat, pihaknya menggeledah sebuah stor simpanan disyaki menyimpan minyak masak hasil risikan selama seminggu.

“Penyeludup menggunakan modus operandi menjadikan stor di sempadan negara iaitu di laluan sungai sebagai tempat simpanan sementara,” katanya.

Tambahnya, berdasar maklumat risikan yang dijalankan selama seminggu, bermula jam 9 pagi, pasukan operasi dengan kekuatan seramai 13 anggota menggeledah sebuah stor simpanan dalam Ops Benteng Covid dan Kontraban.

“KPDNHEP memberi amaran dan mengambil tindakan tegas terhadap sesiapa saja yang melakukan penyelewengan terutamanya berhubung barang kawalan,” katanya pada satu kenyataan hari ini.

Dalam perkembangan lain, Azanizam berkata, KPDNHEP Kelantan menjalankan 683 pemeriksaan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di bawah Akta Kawalan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Menurutnya juga perkara penting di sebalik tindakan KPDNHEP bukan semata-mata aspek penguatkuasaan, sebaliknya sebagai pendidikan kepada peniaga dan orang ramai supaya patuh, untuk sama-sama melawan pandemik Covid-19.

“Melalui pemeriksaan terbabit, KPDNHEP telah mengambil 11 tindakan melalui beberapa kesalahan antaranya pemilik premis gagal membuat penandaan bagi laluan keluar masuk.

“Kesalahan itu mereka dikenakan dengan nilai kompaun sebanyak RM10,000 bagi setiap kes,” ujar beliau. – HARAKAHDAILY 6/6/2021

- Advertisement -