Vaksinasi: Golongan berumur peroleh lebih manfaat

Foto Facebook JKAV
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Statistik dunia mencatatkan lebih 75 peratus kematian disebabkan Covid-19 yang pada julat umur lebih 65 tahun.

Sehingga hari ini, Malaysia mencatatkan sebanyak 603,122 kes Covid-19 dengan 3,182 kes kematian.

Pengerusi Lajnah Kesihatan PAS Pusat, Dr Mohd Mazri Yahya berkata, di Malaysia didapati 88 peratus disebabkan pesakit mempunyai penyakit lain seperti darah tinggi, kencing manis, kegagalan buah pinggang dan sakit jantung.

- Advertisement -

Menurut beliau, data vaksinasi seluruh dunia menunjukkan bahawa golongan yang berumur mendapat lebih banyak manfaat daripada vaksinasi berbanding peringkat umur yang lain.

“Kajian juga mendapati sistem pertahanan tubuh imuniti golongan ini boleh mencecah 95 peratus dua minggu selepas dos vaksin kedua.

“Sehingga hari ini, sebanyak 2.05 bilion dos vaksin telah diberikan di seluruh dunia dan Malaysia hanya menerima sebanyak 3.36 juta dos.

Dr Mazri Yahya.

“Sehingga 31 Mac, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menerima 25,770 laporan kesan sampingan disebabkan vaksinasi,” katanya ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.

Beliau berkata lagi, namun ada yang mendapat kesan sampingan kesan daripada suntikan vaksin seperti sakit otot dan sendi, loya, muntah dan demam yang kebiasaannya akan berakhir dalam sehari atau dua hari sahaja.

“Kajian juga mendapati bahawa pesakit berumur yang dijangkiti Covid-19 walaupun selepas divaksinasi akan mendapat kesan jangkitan yang jauh lebih ringan daripada mereka yang tidak divaksinasi,” ujarnya.

Tambah beliau, secara umumnya vaksinasi adalah selamat kepada pesakit berumur dan memberi lebih banyak kelebihan berbanding mereka yang tidak divaksinasi.

Katanya, bilangan kemasukan ke unit rawatan rapi (ICU) juga jauh lebih kecil dan setiap jenis vaksinasi akan memberi kesan yang hampir sama kepada peringkat umur ini. – HARAKAHDAILY 5/6/2021

- Advertisement -