Perikanan termasuk dalam sektor perkhidmatan perlu

Foto daripada Facebook Che Abdullah Mat Nawi - DCL.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Sektor perikanan termasuk dalam sektor perkhidmatan perlu di semua peringkat rantaiannya semasa sekatan pergerakan penuh sekarang.

Walau bagaimanapun, kata Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II Datuk Che Abdullah Mat Nawi, semua aktiviti yang dilakukan perlulah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

- Advertisement -

Selari dengan itu, ujarnya sebanyak 33 buah Pusat Pengumpulan dan Pengedaran Ikan (CCDC) dan 89 buah pasar nelayan beroperasi sepanjang sekatan pergerakan penuh di seluruh negara.

Beliau berkata, ia dapat dimanfaatkan oleh pemain industri khususnya nelayan dan para pengguna.

Menurutnya lagi, salah satunya, Pasar Nelayan Pulau Gajah, Kota Bharu di mana waktu beroperasi bermula jam 2.00 petang dengan pendaratan ikan segar oleh para nelayan dan dijual terus oleh 13 orang peniaga di situ.

Tambahnya, aktiviti di situ berjalan dengan pematuhan SOP yang ditetapkan dengan pemantauan yang ketat oleh pihak berkuasa dengan hanya 20 pengunjung sahaja dibenarkan dalam satu-satu masa.

“Nelayan dan pemain industri dalam sektor ini terus menjalankan tanggungjawab mereka untuk membekalkan makanan kepada kita.

“Kita juga perlu terus menjalankan tanggungjawab kita untuk mematuhi SOP terutamanya ketika berurusan dengan mereka untuk mendapatkan bekalan makanan,” ujarnya menerusi hantaran di laman Facebook beliau. – HARAKAHDAILY 5/6/2021

- Advertisement -