Pengorbanan jemaah menteri wajar jadi ikutan pembangkang

Abu Harith
- Advertisement -

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

KANGAR: Pengorbanan jemaah menteri dan kerajaan-kerajaan negeri di bawah Perikatan Nasional (PN) sanggup memotong gaji sehingga tempoh tempoh tiga sepatutnya menjadi ikutan wakil-wakil rakyat lain.

Namun wakil-wakil rakyat pembangkang nampaknya masih lagi berdolak dalik, di mana ada yang sebut tidak mendapat peruntukan kerajaan pusat.

- Advertisement -

Sedangkan wakil rakyat PAS sejak dahulu lagi membuat potongan bulanan untuk parti di peringkat negeri dan kawasan untuk kebajikan rakyat dan pengurusan.

Sehubungan ramai orang ramai yang ditemui mahu seluruh wakil rakyat termasuk pembangkang membuat pemotongan gaji bagi bersama merasai kesusahan rakyat terutamanya golongan B40 akibat pandemik Covid-19.

Wan Nurul Wahidah

Seorang guru Wan Nurul Wahidah Wan Mustafa Fikri, 35, berkata, sudah tiba masanya seluruh wakil rakyat mahu pun daripada kerajaan dan pembangkang berganding bahu dalam menangani situasi yang berlaku sekarang.

“Tindakan menteri dan timbalan menteri membuat pemotongan gaji selama tiga bulan kepada rakyat adalah satu contoh teladan yang baik.

“Harapan saya, bukan sahaja dari pihak kerajaan malah wakil rakyat dari pembangkang, pengerusi-pengerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan golongan korporat turut sama berbuat demikian,” ujarnya di sini.

Tambahnya lagi ia sebagai membuktikan solidariti setiap golongan masyarakat supaya rakyat tidak merasa diri mereka keseorangan menghadapi dugaan wabak ketika ini.

Seorang pensyarah Abu Harith, 38, menyatakan sokongan padu terhadap langkah pemotongan gaji para jemaah menteri dan timbalan menteri sebagai usaha membantu rakyat.

“Ia sebagai tanda bakti kepada rakyat yang memberi mandat memilih mereka sebagai wakil rakyat. Malah pengorbanan yang ditunjukkan kakitangan awam dengan pemotongan elaun seharusnya menjadi contoh kepada seluruh ahli parlimen di Malaysia.

“Antaranya kakitangan awam barisan hadapan seperti polis, jururawat dan doktor yang tidak dibenarkan cuti turut terlibat dalam pemotongan elaun untuk diberikan kepada rakyat yang memerlukan,” ujarnya lagi.

Oleh itu, beliau menyeru pembangkang turut berjiwa besar dalam mendepani pandemik sekarang sebagai seorang negarawan bukan sebagai ahli politik dengan mengenepi perselisihan tetapi bersatu mencari solusi terbaik untuk rakyat.

Nur Liyana Samsudin

Bagi Nur Liyana Samsudin, 28, seorang juruteknik juga berpendapat langkah menteri membuat potongan gaji menggambarkan mereka bersama-sama menampung kesusahan rakyat.

“Terdapat rakyat yang terpaksa diberhentikan kerja dan hilang sumber pendapatan

“Ada pula keluarga perbelanjaan isi rumah yang tinggi kerana mempunyai bilangan ahli keluarga ramai termasuk kos perbelanjaan pendidikan secara atas talian di rumah juga memerlukan perbelanjaan tinggi kerana penggunaan internet, komputer, mesin photostat dan sebagainya,” katanya. – HARAKAHDAILY 5/6/2021

- Advertisement -