Menteri Undang-undang ucap tahniah kepada USIM

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pejabat Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) atas pengiktirafan penuh yang diberikan kepada program Sarjana Muda Undang-undang dan Syariah universiti itu oleh Lembaga Kelayakan Profesion Undang-undang Malaysia [Legal Profession Qualifying Board (LPQB)].

- Advertisement -

Menterinya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dalam kenyataan hari ini, berkata, selaras dengan pengiktirafan tersebut, graduan program Sarjana Muda Undang-undang dan Syariah USIM akan mendapat pengiktirafan mengikut kategori seperti berikut:

(i) Graduan Undang-Undang USIM yang bergraduasi pada tahun 2018 dan ke atas adalah diiktiraf sebagai ‘orang yang berkelayakan’ berdasarkan Seksyen 3 Akta Profesion Undang-Undang 1976 dan dikecualikan daripada menduduki Certificate of Legal Practice (CLP);

(ii) Graduan Undang-Undang USIM yang bergraduasi pada tahun 2016 dan 2017 dan telah mendapat Certificate of Completion and Skill of Practical Training diiktiraf sebagai ‘orang yang berkelayakan’ berdasarkan Seksyen 3 Akta Profesion Undang-Undang 1967 dan dikecualikan daripada menduduki Certificate of Legal Practice (CLP); dan

(iii) Graduan Undang-Undang USIM yang bergraduasi pada tahun 2016 dan 2017 dan tidak mendapat Certificate of Completion and Skill of Practical Training dikehendaki menduduki dan lulus peperiksaan Certificate of Legal Practice (CLP).

Menurutnya, dengan pengiktirafan itu, diharap program Sarjana Muda Undang-undang dan Syariah USIM akan muncul sebagai satu lagi sekolah undang-undang ternama di negara ini dan berjaya menyediakan graduan undang-undang yang berwibawa, berdedikasi dan bermoral tinggi untuk mengisi pelbagai keperluan sektor perundangan negara, sama ada sebagai pegawai-pegawai di bidang kehakiman, perundangan, penasihat undang-undang, pengamal undangundang serta lain-lain cabang kerjaya perundangan. – HARAKAHDAILY 5/6/2021

- Advertisement -