Kematian pelajar tahfiz yang dicemburui

- Advertisement -

DIA bukan sesiapa, tetapi kematiannya amat dicemburui. Muhammad Afiq Hakimi Kamaruzzaman merupakan pelajar di Pusat Pendidikan Tahfiz al-Quran & Pengajian Islam as-Sakinah (MADINAH) yang bertempat di kampung Ulu Jeruas, Mukim Sega, Raub, Pahang yang sangat dedikasi dalam melaksanakan amanah dan tanggungjawabnya sebagai Ketua Pelajar.

Arwah membesar tanpa sempat merasai kepuasan belaian kasih seorang ibu. Ibunya telah pergi mengadap ilahi pada 29 September 2010 ketika beliau berusia enam tahun.

- Advertisement -

Sebagai anak bongsu dalam keluarga daripada lima orang adik beradik, beliau menjalani kehidupannya dengan didikan dan bimbingan seorang ayah yang sangat cekal mengharungi segala ujian kehidupan ini di Taman Dato Senu, Sentul, Kuala Lumpur.

Beliau pernah bersekolah di SK.Jeram, Kuala Selangor, SK.Sri Serdang, Pusat Tahfiz al-Iman, Bangi, Pusat Pengajian al-Barokah dan yang terakhir ialah di Tahfiz MADINAH, Raub, Pahang yang diusahakan oleh Ustaz Mohd Shahrizan Md Esa

Di Tahfiz Madinah, selain daripada mengikuti pengajian Hafazan al-Quran secara sepenuh masa, beliau tidak sunyi dari aktiviti dakwah, khidmat sosial dan amal. Beliau merupakan ahli Alternatif Riding Club (ARC) Pahang dan juga Anggota Briged Amal Madinah yang telah dilibatkan secara langsung aktif dalam aktiviti luar termasuk sebagai sukarelawan banjir dalam Misi Bantuan Banjir Besar yang melanda Negeri Pahang baru-baru ini melalui NGO Madinah Prihatin.

Pengalaman luar biasa beliau bersama figura-figura besar seperti Ustazah Asma’ Harun (Penaung Sahabat Amal Care), Ustaz Ahmad Dasuki Abd Rani (NGO Geng Ustaz) Dr. Rosni Adam (Lajnah Kebajikan Dewan Muslimat PAS Pusat) serta puluhan NGO Islam yang lain dalam menjalankan Misi Kemanusiaan Banjir di Raub menjadi sebutan dan semua para petugas sukarelawan ini dengan kecekapan dan kematangan beliau melaksanakan tugasan besar ini diusia 17 tahun.

Selain itu, menurut Ustaz Mohd Shahrizan, juga merupakan Ketua UMMAH Raub, tenaga remaja beliau banyak dihabiskan dengan melaksanakan kerja-kerja sosial seperti menjayakan Karnival UMMAH Raub, Walimah Perdana PAS Kawasan Raub, Program Sukarelawan YADIM Raub,Himpunan Aman Bantah Retifikasi ICERD di Raub termasuk berkhidmat menjaga keselamatan dan kelancaran Daie Sejuta Ummat, Ustaz Azhar Idrus melalui platform Jabatan Amal Raub.

Selain itu, beliau juga menyertai beberapa program ride bersama ARC dalam beberapa siri. Selain itu, beliau juga merupakan vokalis utama dalam pasukan nasyid sekolahnya yang diberi nama “Soutul Madinah”. Suara emasnya sentiasa dirindui untuk dendangkan selawat dan nasyid.

Ketika dikuatkuasakan PKP (lockdown 3.0) kesemua sekolah kerajaan dan swasta telah diarahkan tutup, maka semua pelajar diarahkan pulang ke rumah masing-masing.

Afiq hakimi dengan kehidupan aktifnya seharian, memanfaatkan masa cuti di samping mencari sesuap rezeki dengan membuat perkhidmatan penghantaran makanan melalui Lalamove telah terlibat di dalam kemalangan di Kilometer 1.2 arah selatan (Sri Damansara-Plaza Tol Penchala) pada jam 5.25 petang yang mengakibatkan kecederaan yang teruk.

Kaki dan tangan serta rahangnya dilaporkan patah, manakala kecederaan teruk pada beberapa organ penting menyebabkan beliau tidak sedarkan diri.

Selepas itu, beliau dikejarkan ke hospital Sungai Buloh dan sehingga hari Jumaat yang mulia, tepat jam 11.16 pagi, beliau telah menghembuskan nafasnya yang terakhir menemui Penciptanya.

Allahyarham Muhammad Afiq Hakimi telah disemadikan di Raudhatul Jannah, Tanah Perkuburan Batu Muda, pada hari Jumaat selepas solat asar dengan diiringi dengan Hujan renyai-renyai serta iringan pemandu GrabFood, Food Panda, Lalamove dan lain-lain.

Solat Jenazah dipimpin oleh guru beliau sendiri Ustaz Mohd Shahrizan Md Esa. Terlalu ramai yang menghubungi saya, bahkan sampai menangis teresak-esak atas pemergian Afiq Hakimi ini walaupun tidak pernah mengenali beliau, ujar gurunya.

Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas rohnya serta ditempatkan di syurga bersama para solehin. Moga al-Quran di dadanya memberikannya syafaat. – HARAKAHDAILY 5/6/2021

- Advertisement -