KUALA LUMPUR: “Alhamdulillah, hari ini saya menerima berita gembira daripada anak-anak mahasiswa undang-undang Universiti Sains Islam Malaysia (USIM),” kata Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary.
Menurutnya, setelah beberapa tahun mereka berjuang membawa isu itu, akhirnya program Sarjana Muda Undang-undang Syariah dan Sivil, USIM berjaya diiktiraf oleh Lembaga Kelayakan Profesion Undang-undang (LKPU) Malaysia.
“Insya-Allah, dalam tempoh beberapa tahun akan datang, dunia guaman sivil akan dipenuhi oleh lebih ramai peguam, pendakwa raya dan hakim yang mempunyai dua latar belakang undang-undang iaitu sivil dan syariah.
“Saya percaya, bertitik tolak daripada pengiktirafan ini, banyak konflik perundangan yang kita boleh selesaikan dengan lebih mudah dan harmoni,” ujarnya menerusi laman Facebook beliau, malam ini.
Beliau juga mengucapkan tahniah kepada rakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Parlimen), Datuk Seri Takiyuddin Hassan atas kejayaan itu.
Ahli Parlimen Pengkalan Chepa itu yakin bahawa Takiyuddin telah sedaya upaya memainkan peranan bagi merealisasikan harapan anak-anak mahasiswa undang-undang USIM dalam isu yang begitu lama tidak berjaya diselesaikan sebelum ini.
“Tahniah anak-anak mahasiswa undang-undang USIM. Pastikan kalian menggunakan kesempatan ini sebaik-baiknya untuk meninggikan syiar Islam dalam bidang perundangan di Malaysia,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 4/6/2021