Tahniah Fakulti Syariah dan Undang-undang USIM

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Hari ini telah tercatat lembaran sejarah yang baru dalam dunia undang-undang apabila program Sarjana Muda Undang-undang dan Syariah dengan Kepujian, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) secara rasminya telah diiktiraf oleh Lembaga Kelayakan Profesion Undang-undang (LKPU), Malaysia.

Timbalan Pengerusi Lajnah Undang-undang dan Hak Asasi Manusia (LUHAM), Nik Bahrum Nik Abdullah berkata, sebelum ini USIM merupakan satu-satunya universiti awam yang ijazah undang-undangnya belum mendapat pengiktirafan penuh LKPU, sekalipun ia telah mendapat pengiktirafan dari MQA dan badan berkaitan.

- Advertisement -

Menurutnya, perjuangan Fakulti Syariah dan Undang-Undang USIM untuk pengiktirafan penuh LKPU telah bermula sejak 16 Mac 2010.

Tambahnya, tiga kali penilaian telah dibuat oleh LKPU iaitu pada tahun 2015 dan seterusnya, tahun 2019, dan terakhir, pada tahun 2021.

Sehingga kini, ujarnya Fakulti Syariah dan Undang-Undang USIM telah melahirkan 16 batch graduan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dan Syariah.

Menurutnya lagi, mereka menghabiskan pengajian mereka selama lima tahun, mempelajari undang-undang mengikut sukatan yang sama dengan fakulti Undang-Undang di universiti awam dan swasta lain yang diiktiraf, tetapi masih tidak boleh mempraktikkan ilmu sebagai peguam, dan hilang peluang untuk berkhidmat sebagai pendakwaraya, pegawai kehakiman dan hakim-hakim, penasihat undang-undang serta jawatan perundangan yang setaraf.

“Pada kesempatan ini, LUHAM ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua pihak yang tidak putus asa dan terus berusaha walaupun permohonan tersebut telah beberapa kali ditolak sebelum ini.

“Penghargaan ini ditujukan khusus kepada pihak pentadbiran Fakulti Syariah dan Undang-undang, USIM, para alumni dan mahasiswa yang berusaha sedaya upaya memenuhi kehendak pihak LKPU,” ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.

LUHAM juga, katanya berbesar hati kerana kejayaan itu berjaya dikecapi di bawah pentadbiran Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Parlimen), Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

“LUHAM ingin mengucapkan terima kasih kepada Menteri, Peguam Negara, Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan dan semua pihak berkaitan yang memainkan peranan penting dalam menjayakan usaha pengiktirafan ini.

“LUHAM dengan ini, turut mengalu-alukan kedatangan semua graduan undang-undang USIM ke bidang guaman sivil dengan tangan yang terbuka,” ujarnya lagi.

Tambahnya, LUHAM yakin pengiktirafan itu akan membawa perubahan yang besar ke arah proses pengharmonian sivil dan syariah pada masa akan datang. – HARAKAHDAILY 4/6/2021

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!