Oleh NOR HAZWANI NOH
KUALA LUMPUR: Seluruh rakyat dilihat menyambut baik pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung komitmen besar Menteri dan Timbalan Menteri menyumbang tiga bulan gaji ke Akaun Amanah Bencana Negara.
Ahli Parlimen Sik, Ahmad Tarmizi Sulaiman berkata, ia memberi satu mesej bahawa kerajaan Perikatan Nasional (PN) sangat dekat di hati rakyat.
“Kerajaan PN merasai denyutan kesusahan rakyat untuk bersama-sama dirasai dan mereka telah pun membuat pengorbanan yang besar bagi menangani Covid-19 ini melalui sumbangan daripada gaji-gaji mereka,” katanya.
Tambah beliau, PAS di peringkat pimpinan tertinggi sehinggalah ke ahli-ahli di bawahnya juga sentiasa bersedia untuk bersama membantu menguruskan negara dalam soal ancaman Covid-19 ini.
“PAS telah pun menggerakkan ahli-ahlinya di peringkat bawah untuk menyumbang ke tabung Covid-19 ini yang ditubuhkannya dan akan disalurkan kepada kerajaan.
“Nampaknya ahli-ahli PAS begitu cepat bertindak dengan mengumpulkan sumbangan-sumbangan ini walau sepuluh sen daripada ahli-ahli bawah tetapi ia tidak melunturkan satu rasa tanggungjawab seluruh ahli-ahli PAS untuk sama-sama membantu menangani Covid-19 ini.
“Malah ahli-ahli PAS baru-baru ini menyumbang lebih hampir RM16 juta dalam tabung Palestin yang telah pun digerakkan oleh PAS sendiri,” katanya.
Manakala, di pihak ahli-ahli PN juga, beliau berkata, dalam masa terdekat pengumuman akan dibuat untuk sama-sama menyumbang ke Tabung Kebajikan Covid-19 Negara.
Dalam pada itu, beliau yang juga Timbalan Pengerusi Lajnah Pekerja dan Penggunaan PAS turut menggesa rakyat untuk turut sama membantu kerajaan dalam menangani Covid-19 ini.
“Pengumuman Perdana Menteri memberi satu gambaran jelas bahawa seluruh rakyat dalam keadaan sekarang perlu rasa bertanggungjawab untuk membantu sekadar yang termampu di setiap sudut rakyat itu sendiri.
“Yang ada kemampuan dari segi kewangan bantu dan yang telahpun bertungkus lumus sebagai barisan hadapan juga mereka telah bekerja dengan begitu bersungguh-sungguh termasuklah kakitangan perubatan dan sebagainya.
“Pengumuman PM itu juga telah membuktikan bahawa kerajaan PN sekarang ini sangat kuat didukung oleh rakyat dan sangat-sangat merasai bahawa rakyat perlu bersama menangani pandemik yang telah memberi kesan besar kepada kehidupan, sosioekonomi rakyat, termasuk yang paling besar ialah kesihatan rakyat,” katanya.
Mengulas berhubung sesetengah pembangkang yang masih belum bersuara untuk membantu rakyat dalam menangani Covid-19 ini, beliau berkata trend sebegitu adalah biasa dari pihak pembangkang.
“Pembangkang mereka hanya riuh sekampung orang kata, tetapi nampak masih lagi tin kosong.
“Mereka hanya pandai mengkritik tetapi tidak ada pun daya usaha mereka untuk membantu menguruskan Covid-19 ini yang kesannya kepada seluruh rakyat tidak kira pembangkang ataupun kerajaan,” katanya ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini. – HARAKAHDAILY 4/6/2021
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!