Pengorbanan mereka, kemudahan buat kita

- Advertisement -

PEJABAT pentadbiran PAS Kedah yang pertama ialah di Pekan Guar Chempedak. Ianya beroperasi di sebuah rumah yang disewa. Peringkat awal, PAS Kedah berhadapan dengan masalah kewangan untuk membayar sewa bulanan dan membiayai lain-lain keperluan asas pentadbiran pejabat.

Takdir Allah seorang dermawan, iaitu Guru Besar Sekolah Inggeris Sungai Petani, Tuan Syed Jan Al-Jafri telah bermurah hati menghulurkan sumbangan. Bukan sekadar penyumbang untuk membayar sewa bulanan pejabat, beliau juga adalah pembuka jalan kepada golongan profesional dan intelektual melibatkan diri secara langsung dengan PAS.

- Advertisement -

Pejabat pentadbiran PAS yang ke-2 terletak Jalan Telok Wanjah, Alor Setar. Ia dipindahkan ke sini kerana perkembangan PAS yang pesat serta kerja-kerja pentadbiran yang semakin banyak. Juga memberi isyarat penting bahawa PAS mempunyai cita-cita perjuangan yang tinggi untuk mentadbir Kerajaan Negeri Kedah. Di mana, pusat pentadbiran Kerajaan Negeri terletak di Alor Setar.

Pejabat pentadbiran PAS Kedah yang ke-3 mempunyai sejarah yang menarik. Ia tercetus hasil jawapan spontan Dato Abu Bakar Umar (Pesuruhjaya PAS Kedah ke-2) ketika disoal oleh wartawan sewaktu menghadiri Kongres Tahunan PAS yang diadakan di Bangunan PAS Kelantan.

‘Adakah PAS Kedah juga berhasrat membina bangunan sendiri?’ tanya wartawan. Spontan dijawab ‘Ya, PAS Kedah akan membina bangunan sendiri’. Esok hari, kenyataan spontan tersebut disiar di dada akhbar, padahal PAS Kedah belum ada satu sen pun untuk tujuan tersebut. 

Bagi menyahut laporan berita yang tersiar maka sebuah Jawatankuasa Pembinaan dibentuk. Ia dipengerusikan sendiri oleh Dato’ Abu Bakar Umar di samping bertindak juga sebagai Setiausaha JK Pembinaan, sementara Tuan Guru Othman Al Yunusi diamanah sebagai bendahari beserta beberapa orang jawatankuasa. 

Gerak kerja mencari dana pun bermula. Segala lorong kampung, jalan paya, lumpur, ban dan batas bendang diranduk serta diharungi. Keluar masuk kampung siang dan malam semata-mata untuk mencari duit bagi menjayakan hasrat membina bangunan sendiri bermula dengan membeli tanah sebagai tapak bangunan.

Selepas 4 tahun kutipan dijalankan, sebanyak RM25,000.00 berjaya dikumpulkan. Duit diperolehi dari hasil padi, buah kelapa yang pokoknya sudah diwakaf kepada PAS, ayam, telor ayam, binatang ternak dan apa sahaja yang boleh menjadi duit.

Malangnya, jumlah tersebut tidak mencukupi untuk membayar harga tanah di Jalan Kota Alor Setar yang bernilai RM40,000.00. Jasa baik Tuan Guru Yusuff Rawa telah menyelesaikan masalah dengan memberi pinjaman tanpa syarat sebanyak RM15,000.00.

Usaha diteruskan lagi untuk mencari dana bagi membayar balik pinjaman serta memulakan kerja-kerja pembinaan. Dua tahun berikutnya, sebanyak RM30,000.00 berjaya dikumpulkan. Namun belum mencukupi, kerana dana yang diperlukan ialah sebanyak RM173,000.00. Sekali lagi PAS Kedah dibantu. Dengan kerjasama Syarikat ALIZAHA Pemaju Perumahan dan Syarikat Pembinaan Seng Hong bangunan tersebut dapat disiapkan juga pada tahun 1970.

Kejayaan menyudahkan pembinaan adalah berita gembira, tetapi hutang pembinaan sebanyak RM100,000 lagi mesti dibayar kepada pihak kontraktor. Untuk mengutip derma lagi daripada ahli, pimpinan PAS merasakan sudah tidak sesuai, memandangkan ahli sudah terlalu banyak berkorban.

Akhirnya, RM100, 000 hutang kontraktor diselesaikan melalui pinjaman daripada Bank Bumiputra. Selesai hutang pembinaan, timbul pula hutang dengan bank. Untuk melunaskan hutang bank, tingkat bawah bangunan PAS Kedah telah dipajak kepada Publik Bank selama 11 tahun bermula dari tahun 1976. Kesudahannya, hutang dengan bank berjaya dilunaskan.

Bangunan PAS Jalan Kota Alor Setar dimanfaatkan sebagai pejabat pentadbiran, pusat aktiviti termasuk kuliah pengajian selama lebih 30 tahun sebelum berpindah ke Kompleks PAS Kedah di Bt 9. Bangunan tersebut menyimpan terlalu banyak kenangan pahit manis PAS Kedah dan menjadi saksi jatuh bangun perjuangan panjang ini.

Sesungguhnya, terlalu banyak cabaran serta dugaan yang ditempuh oleh generasi awal dalam usaha mereka untuk memiliki bangunan pentadbiran sendiri. Hanya Allah yang Maha Mengetahui keperitan serta kesusahan yang ditempuh oleh mereka. Namun, sifat kerjasama, gigih dan sedia berkorban apa sahaja yang dimiliki menjadi rahsia penting kejayaan mereka.

Oleh yang demikian, jasa Dato Abu Bakar Umar, Tuan Guru Osman Al Yunusi, Tuan Guru Yahya Junid, Ustaz Azhari Abd Razak, Ustaz Ahmad Shukri, Cikgu Ahmad Din, Tuan Guru Lebai Isa Kodiang, Tuan Guru Abdullah Abbas Nasution dan semua yang terlibat dalam pembinaan bangunan tersebut mestilah dihargai oleh kita semua yang menyambung perjuangan ini. Semua individu yang disenaraikan sudah kembali ke pangkuan Ilahi. Hanya Allah yang dapat membalas jasa serta pengorbanan mereka.

Mereka yang mendahului telah berkorban, hasilnya kemudahan untuk kita. Justeru, kita juga perlu berkorban, hasilnya dikecapi generasi akan datang. Apa yang penting, mereka, kita serta generasi akan datang adalah mata rantai perjuangan yang panjang.

USTAZ AHMAD YAHAYA 
Pesuruhjaya PAS Kedah – HARAKAHDAILY 4/6/2021

- Advertisement -